‘Konsert dapat permit MACP, kenapa nak hentam 4U2C’

SELEPAS timbul dakwaan isu hak cipta lagu, penyanyi dan ahli kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal menegaskan We 4U2C Live in Concert yang dijadualkan berlangsung pada 15 September ini akan tetap diteruskan.

Ini berikutan pihak mereka sudah memperoleh permit sah daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) di bawah akta Hak Cipta Malaysia 1987.

“Saya masih berada dalam industri seni selama 30 tahun dan konsert ini yang menyatukan kami (4U2C) kembali.

Di sini saya ingin umumkan, kami dah dapat permit daripada MACP sekali gus menjadi petunjuk WE 4U2C Live in Concert bakal diteruskan seperti perancangan asal.

“Di dalam akta MACP, setiap persembahan secara langsung menggunakan muzik ‘live’ tidak perlu dapat apa-apa persetujuan pencipta lagu sebab semuanya sudah diserahkan kepada badan terbabit,” katanya dalam sidang media berkenaan isu hak cipta lagu 4U2C di sini, hari ini.

Pada masa masa, pemilik nama lengkap Mizal Zaini, 53, menzahirkan kekesalan apabila isu tersebut dibangkitkan walaupun mereka belum memutuskan lagi senarai lagu yang ingin dipersembahkan.

“Bukan menidakkan hak milik, apabila timbul perkara seumpama ini, kami perlu jelaskan terutama berkenaan hak milik karya.

Saya pun belum beritahu seleksi apa ingin dinyanyikan nanti. Kenapa isu hak milik lagu pula diperbesarkan?

“Mungkin saya nyanyikan lagu bahasa Inggeris, India atau Cina. Pasti ada agenda tertentu (hal hak cipta dibangkitkan),” ujarnya.

Terkilan isu hak milik lagu 4U2C mencetuskan salah faham di kalangan peminat, AC Mizal memaklumkan kontroversi berkenaan menjejaskan jualan tiket serta mengundang persepsi kurang baik terhadap kumpulannya.

Kenapa agresif sangat nak hentam dan mahu tutup periuk nasi 4U2C? Kami di sini bukan hendak bersaing dengan siapa.

“Kami cuma mahu menghibur selain berkongsi rasa bertuah ada sokongan penganjur Juss dan penaja Millenium,” ujarnya lagi.

AC Mizal menegaskan perlu menjelaskan perkara terbabit supaya isu dibangkitkan pihak tertentu lebih difahami peminat yang terus menerus menyalahkannya.

“Kedua pula dengan adanya permit, kami berada di pihak yang benar. Kasihan netizen yang komen kata kami tak patut buat konsert.

Mereka tak faham dan keliru. Saya kena buat semua memahami berkenaan hak milik lagu yang sudah diberikan kepada MACP.

“Jadi, MACP yang perlu buat bayaran kepada pencipta muzik,” tuturnya.

Sementara itu, ahli kumpulan 4U2C iaitu Azam menafikan dakwaan bekas pengurusnya, Man Senoi mengenai 25 lagu hak milik Zman Production.

Sebaliknya, Azam menegaskan Man Senoi hanya mencipta beberapa lagu dinyanyikan 4U2C.

“Saya ahli MACP dari tahun 1992, saya masih aktif. Dalam lagu-lagu 4U2C, ramai tidak tahu bukan semua lagu hak milik bekas pengurus kami.

Lagu-lagu hit adalah ciptaan Jo dan lagu Kami Rapper saya yang buat. Album pertama kami, Man Senoi ada tiga lagu saja.

“Dia dakwa semua lagu dia buat, saya kecewa kerana hal ini tak patut timbul, memandangkan sebenarnya 70 peratus lagu milik kami sendiri,” katanya.

Selain itu, menerusi peguamnya Carlos Mak Chuen Yuan, pihak mereka tidak akan bertolak-ansur terhadap semua kenyataan palsu selain menuntut permohonan maaf dalam masa 24 jam daripada beberapa individu yang terlibat.

“Segala lesen dan permit daripada pihak berwajib sudah kami peroleh untuk menganjurkan konsert itu. Malangnya, kami dapati pihak ketiga keluarkan kenyataan palsu menentang 4U2C baru-baru ini.

Disebabkan itu, kami menuntut pesalah-pesalah itu membuat permohonan maaf terbuka kepada media dan orang awam dalam tempoh 24 jam.

“Jika gagal buat permohonan maaf rasmi itu, kami akan teruskan untuk mengambil tindakan terhadap pesalah itu,” jelasnya.

Selain AC dan Azam, 4U2C yang turut dianggotai Aren, Yanz, Rinz, Lanz dan Charlie bakal mengadakan konsert WE 4U2C Live in Concert di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan.

Selepas pengumuman tersebut, komposer dan penerbit Man Senoi dan isterinya, Mama Rap mendakwa tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan penganjuran konsert selain memaklumkan mempunyai hak sepenuhnya terhadap hak cipta lagu-lagu 4U2C. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok