DALAM ledakan pesta muzik antarabangsa yang saban minggu menggila di pentas-pentas megah negara, muncul satu usaha berani daripada pemain industri baharu yang mahu mengangkat suara tempatan ke tahap selayaknya.
Bersandar semangat perjuangan anak bangsa, DM Diamond Sdn. Bhd. tampil dengan sebuah konsert mega penuh warna dan cita rasa tempatan, Hype Republic yang bakal meletuskan gegaran seni di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 13 Disember depan.
Bukan sekadar konsert biasa, Hype Republic muncul sebagai pentas penyatuan pelbagai genre muzik daripada hip-hop hingga EDM, pop moden serta tidak terkecuali alt-indie.
Semua genre itu bakal bergabung dalam satu malam pesta artistik penuh gemerlapan seluruh senarai artis yang bakal beraksi, semuanya anak seni tempatan, tanpa sajian bintang luar sebagai umpan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond, Isa A. Rani, pihaknya mahu menjadikan Hype Republic sebagai medan eksklusif buat penyanyi dan pengkarya tanah air mempamerkan kebolehan sebenar mereka dalam format konsert bertaraf antarabangsa.
“Benar, kami syarikat baharu dalam arena penganjuran konsert berskala mega. Tapi jiwa kami bukan jiwa picisan.
“Pasukan kami terdiri daripada individu berpengalaman luas, malah pernah mengurus beberapa acara besar sebelum ini.
“Kami yakin, Hype Republic akan jadi pencetus satu gelombang seni baharu yang tidak akan mati,” katanya kepada HibGlam.

ISA A. Rani (dua dari kanan) berharap Hype Republic mampu dijadikan acara muzik tahunan dalam kalendar muzk tanah air.
Tambah Isa, langkah mengangkat 100 peratus artis tempatan bukan sekadar simbol semangat nasionalisme seni, tetapi satu deklarasi cinta kepada industri hiburan tanah air.
“Kita lihat pentas-pentas besar banyak diisi artis luar negara. Jadi, kami ambil tanggungjawab itu untuk cipta pentas sendiri buat penyanyi kita bersinar.
“Hype Republic tidak hanya menampilkan persembahan muzik sebaliknya adalah pengisytiharan bahawa artis kita juga layak diangkat dan diraikan di tanah air sendiri,” ujarnya.
Konsert tersebut bakal menghimpunkan gabungan genre dan gaya berbeza termasuk K-pop, J-pop, hip-hop, EDM dan muzik alternatif indie, menjadikan malam itu satu ledakan cita rasa muzik yang menyatukan generasi dan selera.
Barisan artis diumumkan juga bukan calang-calang antaranya seperti Kmy Kmo & Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Zynakal, Bunga, Zubir Khan dan K.O.I. serta seorang lagi nama besar yang bakal didedahkan sebagai kejutan utama menjelang malam konsert.
Jika mendapat sambutan, tidak mustahil Hype Republic dijadikan acara tahunan.
“Kalau rakyat beri kepercayaan, kami akan jadikan ini acara tahunan. Tapi bukan setakat genre moden.
“Kami mahu buka pentas kepada semua termasuk nasyid, rock, dangdut dan segala genre yang pernah membesarkan kita. Kami mahu semua rasa dihargai, semua suara didengari,” tutupnya.
Dengan barisan artis tempatan paling menyengat, Hype Republic bersedia untuk menjadi festival paling menggoncang dan bertindak sebagai pergerakan budaya melambangkan kebangkitan suara anak seni Malaysia. – HIBGLAM