BERGELAR pelakon dan ikon fesyen tanah air, Scha Al-Yahya akui memiliki banyak pakaian dan akan menderma yang tidak lagi dipakai setiap tiga bulan.
Menurut Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al- Yahya, sebagai seorang selebriti, dia sentiasa membeli baju baharu kerana pernah dikritik memakai baju yang sama.
“Susah sebenarnya menjadi selebriti kerana orang akan tegur baju kita pernah pakai sebelum ini. Saya sendiri pernah kena.
Saya lihat artis lelaki selalu kena komen macam tu. Takkanlah selebriti tak boleh ulang pakai pakaian yang sama?
“Macam saya selepas pakai kali pertama, kali kedua saya akan mix and match. Selepas itu saya akan beri pakaian tersebut kepada orang lain sama ada saudara mara atau rakan terdekat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi Mis Claire, semalam.
Jika sesetengah selebriti lain mungkin lebih gemar menjual semula pakaian mereka (‘pre-loved’) , pelakon filem Telaga Suriram itu pula memilih untuk beri kepada orang lain secara percuma.
“Nak buat pre-loved? Tak apa lah. Saya rasa lebih baik bagi sahaja. Kalau nak buat pre-loved nanti banyak kerja pula. Kalau sikit-sikit boleh la, jika banyak lebih baik bagi sahaja.
“Baju anak-anak saya pun ada yang saya bagi sahaja kepada orang lain daripada disimpan tak dipakai. Kanak-kanak pula cepat membesar,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Scha berkolaborasi dengan jenama fesyen Mis Claire yang sinonim dengan wanita bertubuh besar.
Pembabitan Scha adalah revolusi baharu jenama tersebut yang menyasarkan wanita pelbagai bentuk tubuh. – HIBGLAM