‘Takkan ‘overshadow’, takut Ziana Zain angkat kening’

BUAT pertama kali dalam sejarah penganjuran konsert di Malaysia, empat penyanyi yang mempunyai pertalian darah dan ikatan kekeluargaan disatukan atas satu pentas berskala besar dalam Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur di Mega Star Arena pada 18 Oktober depan.

Konsert Empat bakal menyaksikan empat penyanyi hebat negara iaitu Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel mempersembahkan kekuatan vokal masing-masing.

Jika ada yang masih belum tahu apakah kaitan keempat-empat penyanyi ini, Ziana dan Anuar merupakan adik-beradik, manakala Ernie Zakri pula anak saudara dua penyanyi tersohor itu dan Syamel adalah suami kepada Ernie.

Menurut Ziana, penganjuran konsert adalah hasil doa peminat yang selalu bertanya, bilakah mereka akan bergabung dalam sebuah konsert.

Peminat selalu tanya Kak Gee (panggilan manja Ziana) bila nak bergabung dalam sebuah konsert. Saya kata doakan agar satu hari nanti jadi kenyataan. Dan hari ini, doa mereka dimakbulkan. Kami berempat akan bergandingan dalam sebuah konsert,” katanya.

Apa yang menjadikan gandingan tersebut lebih hebat adalah keempat-empat mereka merupakan pemenang anugerah vokal terbaik.

MESKI ada pertalian keluarga, Ernie dan Syamel mengakui berdebar berkongsi pentas dengan Ziana dan Anuar.

Jika Ziana dan Anuar masing-masing pernah merangkul trofi Vokal Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM), Ernie dan Syamel pula pernah sama-sama membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL).

Ditanya adakah malam itu nanti bakal menjadi medan peperangan vokal, kata Anuar, pentas Konsert Empat bukan untuk tunjukkan siapa lebih hebat.

“Saya mengenali karakter kakak saya, Ernie dan Syamel. Mereka sangat menyokong antara satu sama lain.

Takkan ada sesiapa pun akan cuba ‘overshadow’ yang lain. Paling penting masing-masing jujur dan mempunyai hati yang baik,” jelasnya.

Kenyataan Anuar turut disokong Ziana yang memohon agar peminat hadir dengan membawa ‘vibes’ positif.

“Setiap seorang daripada kami mempunyai kekuatan vokal masing-masing.

Jadi tidak timbul soal siapa akan ‘overshadow’ siapa. Peminat masing-masing juga sudah sedia maklum.

“Apa yang kami mahukan adalah setiap peminat ‘enjoy’. Datang dengan hati yang terbuka dan positif. Momen-momen seperti ini bukan selalu kita dapat. Jadi kenapa tidak kita jadikan konsert ini sebagai satu kenangan paling indah,” ujarnya.

TIADA aksi lagak tayang suara siapa paling hebat pada konsert Empat Live in Kuala Lumpur 2025, Anuar Zain menegaskan semua penyanyi yang terlibat saling melengkapi dan menyokong antara satu sama lain. – IQBAL ROSLI

Bagi Syamel pula, dia faham ekspektasi peminat yang sedia maklum kekuatan vokal setiap bintang konsert itu.

“Jika dilihat senarai lagu, semuanya mempunyai bahagian yang menguji vokal. Tetapi insya-Allah tidak akan terjadi insiden tayang vokal siapa paling tinggi.

Kalau berduet dengan Ziana dan saya cuba untuk ‘overshadow’, mungkin dia akan angkat kening kepada saya. Jadi saya dah takut,” katanya berseloroh.

Tambah Ziana, dia terbuka seandainya ada antara mereka mahu memberikan yang terbaik sewaktu konsert nanti.

Kalau mereka nak goreng, goreng lah nak. Kau nak buat apa pun buatlah. Do the best that you can,” katanya.

Ditanya soal pemilihan lagu memandangkan masing-masing punya repertoire hebat terutamanya Ziana dan Anuar, kata Ernie dia bersyukur kerana proses pemilihan lagu berjalan dengan mudah.

“Pada mulanya kita agak rambang mata untuk pilih lagu terutamanya untuk lagu duet kerana Ziana dan Anuar mempunyai repertoire yang sangat besar.

Sebagai senior mereka sudah tentu tahu apa yang mereka mahukan. Kita yang junior ini mestilah ada rasa ‘nervous’.

“Tetapi bila kami duduk berbincang , semuanya berjalan dengan lancar. Empat menjadi satu,” kongsinya. – HIBGLAM

SEBAGAI tanda penghargaan, Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel akan menghadiahkan peminat sebuah lagu duet.


Lagu baharu berempat

Bukan sahaja hadir dengan konsert, tetapi keempat-empat bintang ini juga bakal menghadiahkan para peminat mereka sebuah lagu duet baharu.

Lagu tersebut diciptakan khas untuk memberi momen istimewa sebagai kenangan buat semua yang hadir ke konsert mereka nanti.

Lagu ini dicipta Edry Abdul Halim. Kami semua sudah dengar dan suka. Lagu ini akan dilancarkan sebelum konsert agar penonton yang hadir dapat sama-sama menyanyi.

“Tidak mudah untuk mencari lagu yang sesuai dengan empat vokal. Alhamdulillah kami jumpa lagu sesuai dan apa yang boleh dikatakan lagu ini mempunyai mesej positif dan bersifat universal,” kata Syamel.

Biarpun berbaki empat bulan lagi menjelang tarikh konsert, sambutan jualan tiket sangat hangat dan laris bak pisang goreng panas.

Buktinya tiket-tiket kategori Bronze (RM288), Silver (RM388), Gold (RM488), Platinum (RM688) dan Royal Twin Seat (RM2088) telah pun habis dijual. Kini, yang tinggal hanya kategori Diamond (RM888) dan VIP (RM1,088).

Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket menonton konsert berkenaan, boleh layari laman sesawang www.ticket2u.com.my/empatkl. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok