‘Selesaikan secara waras di mahkamah, bukan emosi’

ISTERI kepada pelakon dan pelawak, Along Cham, Afreena Suhaimi, tampil menempelak sikap suaminya yang disifatkan tidak menghormati mahkamah apabila mengeluarkan kata-kata tidak wajar sepanjang prosiding.

Menurut Afreena, 33, setiap individu seharusnya menunjukkan kematangan, lebih-lebih lagi apabila berdepan urusan perundangan yang melibatkan maruah dan kehormatan keluarga.

“Kita sepatutnya selesaikan perkara ini dengan waras, bukan emosi. Tak perlu menghina atau beri gelaran yang menjatuhkan maruah orang lain.

Gelaran tidak sesuai itu menggambarkan mentaliti seseorang. Bila di mahkamah, hormatilah ruang dan peraturan. Bukan bertindak seperti berada di jalanan,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas lanjut, Afreena berkata, fokus utama kini bukan lagi pergaduhan sebaliknya mempercepatkan penyelesaian kes perceraian mereka yang sudah tertangguh sejak tahun lalu.

“Talak sudah dilafazkan pada Jun 2024. Tapi sampai sekarang masih belum selesai. Saya tak faham mengapa kes ini berlarutan begitu lama.

Saya penat. Saya nak tutup buku ini. Masing-masing ada hidup, ada karier. Tak perlulah terus bertikam lidah depan orang ramai,” ujarnya pada prosiding kedua pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.

Selain menegur sikap Along tidak profesional di mahkamah, Afreena menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dia berlaku curang sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Kalau saya sibuk dengan kerja dan urusan sendiri, itu bukan curang. Saya tak pernah curang dengan dia. Tuduhan itu sangat berat dan tak berasas.

“Saya tahu siapa diri saya, orang sekeliling pun tahu saya macam mana,” tegasnya.

Terdahulu, Afreena mendakwa rumah tangga mereka mula berantakan sejak dua bulan selepas bernikah dan pernah berlaku lafaz cerai di luar mahkamah pada Julai 2024.

Pasangan itu bernikah pada 4 April tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan kedua buat Along dan Afreena. Masing-masing mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu.

Along sebelum pernah bercerai penyanyi Zila Saeron pada September 2016, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya. Manakala Afreena pula mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan pertama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok