‘Saya tak pernah curang, itu hanya tuduhan’

ISTERI kepada pelakon dan pelawak, Along Cham, Afreena Suhaimi menafikan dakwaan dia berlaku curang sehingga mencetus kemelut rumah tangga mereka.

Tampil mempertahankan diri, Afreena Suhaimi, 33 menyifatkan dakwaan dibuat suaminya itu sebagai tidak berasas serta tidak diketahui puncanya.

Saya tak tahu macam mana isu curang itu boleh timbul.

“Saya nafi sebab saya tak pernah curang dengan dia. Itu semua hanyalah tuduhan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.

Jelas Afreena, definisi curang bagi Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, juga mengelirukan dan langsung tidak berlandaskan realiti.

Dia cakap definisi curang itu ialah menipu. Tapi bagi saya, curang bermaksud menjalin hubungan sulit dengan orang lain.

“Kami sendiri tidak faham curang yang bagaimana dia maksudkan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kesibukan kerja serta komitmen terhadap karier membataskan dirinya daripada melakukan perkara tidak berfaedah seperti yang didakwa.

“Saya terlalu sibuk. Saya ada kerja dan karier yang perlu saya kejar.

Saya tak ada masa nak buat benda-benda macam tu,” jelasnya.

Mengulas tuduhan Along yang mendakwa dia mengabaikan anak, Afreena hanya mampu beristighfar dan melahirkan rasa kecewa.

“Saya rasa perkara ini tidak ada kena mengena dengan kes kami.

Orang yang kenal saya tahu saya memang jaga anak-anak. Emak mana sanggup buang anak?” tegasnya.

Terdahulu, Afreena pernah mendedahkan rumah tangga mereka sudah bermasalah sejak dua bulan selepas berkahwin. Malah, dia turut mendakwa pernah berlaku lafaz cerai di luar mahkamah pada Julai tahun lalu.

Pasangan itu bernikah pada 4 April tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan kedua buat Along dan Afreena. Masing-masing mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu.

Along sebelum pernah bercerai penyanyi Zila Saeron pada September 2016, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya. Manakala Afreena pula mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan pertama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok