BABAK itu paling istimewa, sangat menyentuh hati.”
Demikian perkongsian pelakon Siti Hariesa yang menangis teresak-esak di sisi penceramah terkenal, Ustazah Asma’ Harun selepas melakonkan sebuah babak dalam drama Lambaian Huda.
Menurut Hariesa atau nama lengkapnya Siti Hariesa Muhammad Hanafi, 27, lontaran dialog Ustazah Asma’ secara spontan sangat meninggalkan kesan mendalam terhadap emosinya.
“Babak tersebut adalah ketika Suzy (karakter) meluahkan perasaan nak berubah tapi halangan dilalui sangat susah. Bila jumpa ustazah itulah momen paling istimewa.
Sebenarnya saya ikut skrip tapi di pihak ustazah pula tiada dialog. Beliau hanya bagi respons mengikut ayatnya sendiri.
“Apa disebut sangat menyentuh hati apabila secara peribadi kata-kata diucapkan menusuk perasaan sehingga saya menangis tidak berhenti,” katanya kepada HibGlam pada sesi tayangan episod akhir drama lakonannya, Lambaian Huda.
Pelakon filem Misteri Fraser 1910 itu memaklumkan Ustazah Asma’ menitipkan pesanan bahawa setiap manusia ada kekurangan masing-masing.
Dia cakap kita semua tak sempurna, ada kekurangan diri dan saya buat dengan baik. Lebih kurang macam itu.
“Saya sendiri rasa saya buat benda baik dalam kehidupan,” ujarnya.
Malah, Hariesa sendiri tidak menyangka menangis teresak-esak semasa melakonkan adegan tersebut.
“Saya pun tak jangka (akan menangis), itulah keindahan dalam berlakon.
Ustazah Asma yang bagi nasihat betul, mendalam. Saya tak jangka babak tersebut jadi begitu,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, tular sebuah video menunjukkan Hariesa menangis teresak-esak dalam dakapan Ustazah Asma’.
Dalam video tersebut, pendakwah itu cuba menenangkan wanita itu sehingga membuatkan netizen sebak. – HIBGLAM