Martabat irama tradisional, Simfoni Budaya II gegar DFP

SELEPAS kejayaan konsert Simfoni Budaya I pada tahun lalu, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) kini kembali memartabatkan muzik tradisional menerusi konsert Simfoni Budaya II.

Konsert yang bakal berlangsung pada 5 Julai depan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC itu akan menampilkan genre muzik tradisi Melayu seperti joget, asli dan zapin dengan gubahan orkestra.

Menurut konduktor muzik, Ahmad Muriz Che Rose, terlalu banyak lagu tradisional yang cukup indah dan menjadi tanggungjawabnya untuk memperdengarkan kepada khalayak.

Sebenarnya, Malaysia cukup kaya dengan tradisinya begitu juga muzik. Jadi, sayang jika diperam begitu. Cabaran utama saya adalah memilih lagu kerana kita ada begitu banyak lagu-lagu tradisional yang indah.

“Cuma selepas mendapat barisan penyanyi, pemilihan lagu itu menjadi mudah kerana saya pilih lagu yang bersesuaian dengan vokal serta kemampuan setiap penyanyi,” ujar Ahmad Muriz pada sidang media baru-baru ini.

Antara barisan lagu malar segar yang bakal didendangkan dalam konsert Simfoni Budaya II adalah Dikirim Jangan Dipesan Jangan, Mas Merah, Fatwa Pujangga, Nirmala, Joget Burung Merpati, Tudung Periuk, Makan Sireh dan Joget Wan Lebar.

Kesemua lagu tersebut digubah oleh Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Teuku Umar dan Shahakam Mokhtar.

Menyentuh tentang pemilihan penyanyi iaitu Datuk Andre Goh, Zehra Zambri, Hazra Dollah, Danial Chuer dan Rojer Kajol, Ahmad Muriz punya alasan tersendiri.

Sejujurnya, paling saya gusar adalah Andre Goh, tetapi saat dilamar, beliau terus setuju.

“Barisan penyanyi lain memang sudah lama berada dalam pemerhatian saya seperti Zehra Zambri kerana vokalnya amat sesuai dengan lagu tradisional,” ujar Ahmad Muriz.

Barisan penyanyi yang akan menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas (dari kiri) Danial Chuer, Hazra Dollah, Datuk Andre Goh, Ahmad Muriz, Zehra Zambri dan Roger Kajol.

Dua generasi

Sementara itu, penyanyi muda Danial Chuer yang merupakan naib juara program Big Stage berasa begitu terharu apabila bakal berdiri sepentas dengan barisan penyanyi senior.

Kata Danial, tawaran untuk menyanyi bersama MPO ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Saya masih tidak percaya terpilih untuk bersama dalam Simfoni Budaya II. Dua generasi bersatu dalam satu pentas.

Saya tidak dikenali sebagai penyanyi tradisonal, tetapi inilah cabaran yang harus dilalui dan dengan kepercayaan diberikan saya akan cuba lakukan sehabis baik.

“Diharap dengan kehadiran saya dalam konsert ini akan dapat menarik minat golongan muda untuk sama-sama menikmati irama tradisi kita,” tutur Danial.

Andre Goh, 78 yang popular dengan lagu Mas Merah pula berkata, konsert Simfoni Budaya II adalah pentasnya melepaskan kerinduan selepas sekian lama tidak muncul dalam persembahan berskala besar.

Saya memang seronok dapat beraksi di atas pentas semula. Memang sudah agak lama tidak muncul dalam persembahan, tetapi saya masih aktif menyanyi dan masih sihat.

“Malam konsert nanti saya akan menyanyikan lagu Mas Merah, lagu yang sudah menjadi identiti saya sejak muncul dalam program Bakat TV RTM pada 1972,” kata Andre.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket konsert Simfoni Budaya II boleh layari laman web, mpo.com.my. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok