PELAKON Fauzi Nawawi meluahkan rasa bimbang melihat generasi baharu yang cenderung berkongsi masalah rumah tangga dalam media sosial.
Kata Fauzi atau nama lengkapnya Muhammad Fauzi Mohd Nawawi, 52, perkahwinan memerlukan rasa tanggungjawab yang tinggi selain menyeru pasangan muda agar matang dalam menangani masalah rumah tangga.
“Saya nampak benda ini (muat naik media sosial) dah dinormalisasikan generasi baharu. Tak mampu cakap apa, saya sedih sebab mereka tiada prinsip.
Sedangkan waktu akad nikah dah berjanji akan sehidup semati dengan pasangan. Jangan libatkan ibu ayah dalam masalah rumah tangga.
“Rumah tangga kita tidak perlu ada pihak ketiga. Kalau suami isteri dah buat keputusan nak bernikah, maksudnya mereka kena berani dan kuat hadapi masalah dan selesaikan permasalahan,” katanya kepada HibGlam semasa tayangan episod akhir drama lakonannya, Lambaian Huda.
Sempat berkongsi pengalaman hampir dua dekad mendirikan rumah tangga bersama pelakon Lisdawati, Fauzi menegaskan kejujuran merupakan aspek paling penting dalam menjaga perhubungan.
Malah, dia turut menekankan setiap pasangan dicipta untuk saling melengkapi tanpa perlu berkongsi konflik rumah tangga dengan orang luar.
Sembilan belas tahun berkahwin, tip tiada apa sangat cuma kena jujur saja. Setiap manusia lakukan kesilapan, bergantung kepada pasangan masing-masing untuk menilai dan memahami situasi.
“Nak cari lengkap dan sempurna tak jumpa, kita pasangan diwujudkan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
Setiap orang akan ada kelemahan atau keburukan, pasangan kita akan menutup segala kelemahan dan keburukan itu.
“Tip kami, kalau bergaduh atau selisih faham, jangan muat naik dalam media sosial atau cerita kepada sesiapa. Jangan sampai hal dalam kain buka kepada umum, lebih baik selesaikan sendiri,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Fauzi dan Lisdawati mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 17; Nur Aina Fazneesya,16; Ahmad Nur Fyrdaus, 11; dan Ahmad Nur Fayyadh, 6.
Empat lagi anak hasil perkahwinan pertama Fauzi ialah Nurul Hainil Fatihah, 27; Hanna Faresha, 24; Mohd Fikri Hakimi, 21; dan Muhammad Fareez Hazwan, 26 yang juga penyanyi. – HIBGLAM