RINDU tak berkesudahan, pelakon Azhan Rani mendedahkan sudah lama tidak berbaju Melayu menyambut raya sejak pemergian bapa tersayang pada 2016.
Menurut Azhan atau nama sebenarnya Azhan Abd. Rani, 49, setiap kali menyambut Aidilfitri dia pasti akan terkenang memori bersama bapa tersayang, Allahyarham Abdul Rani Sabri.
“Sebelum ini saya seronok menyambut hari raya dan sayalah yang akan pastikan semua pakai baju raya sedondon.
Tapi selepas tahun 2016 iaitu selepas pemergian arwah abah, saya cuma berbaju T sahaja pada pagi raya sebab nak pakai baju melayu pun tidak sanggup.
“Saya rasa, sudah lama tidak pakai baju Melayu di pagi raya. Kalau pakai pun hanya dalam drama lakonan saya sahaja,” katanya dalam podcast Sembang Seram yang dikendalikan pempengaruh, Safwan Nazri.
Tambahnya, dia sudah hilang rasa seronok untuk menyambut Aidilfitri terutama selepas bapanya tiada lagi di dunia ini.
Saya bahkan tiada ‘mood’ untuk pergi beraya kecuali kalau ibu saya mahu berjumpa saudara atau rakan-rakannya.
“Namun, untuk saya pergi beraya rumah orang itu, tidaklah.
“Sebab saya masih lagi macam terkenangkan arwah abah. Bukanlah tidak reda, tetapi saya akan lebih terkesan kalau pergi beraya. Saya jadi teringat arwah,” ujarnya.
Tambah Azhan, dia cemburu melihat mereka yang masih sempat berbakti kepada bapa kerana banyak perkara tidak sempat dilakukannya semasa arwah masih hidup.
“Perasaan rindu itu susah untuk saya lepaskan, lagi-lagi bila sudah tidak dapat salam tangan orang tua yang selama ini menjaga kita, memang merupakan satu kehilangan yang besar.
Saya rasa cemburu melihat orang yang masih ada bapa, boleh pimpin orang tua mereka.
“Banyak benda yang saya patut buat pada dia (bapa) yang tidak sempat buat. Tapi sekarang ini saya masih ada mak, ini sahajalah yang saya ada,” ujarnya.
Sekadar info, bapa Azhan iaitu Abd. Rani Sabri meninggal pada 21 Ogos 2016 akibat penyakit sesak nafas ketika berusia 71 tahun. – HIBGLAM