BUKAN sekadar paras rupa, tetapi bakat dan disiplin tinggi pelakon Irfan Zaini menjadi kunci kepercayaan ramai bahawa dia layak digelar hero naskhah masa depan.
Pendek kata, pemilik nama sebenar Muhammad Irfan Mohamed Zaini itu bukan pelakon tempelan atau pelaris adegan picisan, sebaliknya hadir membawa naratif baharu buat dunia lakonan tanah air.
Ledakan penangan watak Malik menerusi Blood Brothers mengukuhkan lagi kehadirannya sebagai pelakon berjiwa besar.
Pencapaian pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu bukan datang sekelip mata, tetapi hasil jerih perih yang tidak pernah mengenal jemu.
Pun begitu, saat dirinya mula bersinar di pentas glamor, muncul pula bisik-bisik yang mendakwa Irfan semakin sombong dan tidak lagi mesra apabila disapa peminat, baik dalam media sosial mahupun ketika berjumpa.

IRFAN kini menjalani penggambaran filem ketiga bersama bintang legenda Kollywood, Thalapathy Vijay berjudul Jana Nayagan di India.
Tenang menjawab dakwaan tersebut, jejaka berusia 30 tahun itu tidak melenting sebaliknya berlapang dada dan melihat perkara tersebut secara rasional.
Orang yang nak bercakap, dia akan bercakap juga. Kalau fikir semua itu, saya yang sakit kepala. Kadang kalau orang tegur atau mesej dalam Instagram, saya tak perasan.
“Tapi mungkin satu hari nanti, bila saya balas mesej orang yang pernah terasa, terus hati mereka berubah. Jadi saya tak ambil hati. Saya faham perasaan itu,” katanya.
Tegas Irfan, peminat yang setia pasti faham bahawa dia juga manusia biasa, terikat dengan jadual kerja yang padat.
“Kadang-kadang kita dalam keadaan bergegas, tak sempat baca semua. Tapi bukan saya sengaja tak nak layan.
Paling penting, saya tak pernah suruh pembantu peribadi yang balas mesej. Saya nak baca sendiri. Sebab peminat jujur dengan saya, jadi saya pun nak jujur dengan mereka.
“Ada yang hantar karangan panjang, tiga empat muka surat. Saya suka baca. Sebab bila saya baca, saya sedar sejauh mana saya dah sampai,” ujarnya.
Bagi lelaki berkulit hitam manis itu, mesej-mesej peminat menjadi pemangkin semangat untuk melangkah dengan lebih yakin.
Itu macam satu tepukan atas bahu. Macam suara halus berbisik, ‘Irfan, kau dah sampai sini. Tapi kau boleh pergi lebih jauh.’ Itu yang saya rasa,” jelasnya.
Berkongsi perkembangan, Irfan kini sedang menjalani penggambaran filem Jana Nayagan di India, sebaris dengan bintang legenda Kollywood, Thalapathy Vijay.
Saya tengah ‘shoot’ di India sekarang untuk Jana Nayagan. Ini filem ketiga saya dengan Vijay dan katanya ini filem terakhir sebelum dia masuk politik.
“Watak saya kali ini lebih besar berbanding filem The Greatest of All Time (GOAT) dahulu. Saya bersyukur sebab Vijay sendiri yang syorkan nama saya pada produksi. Tapi saya tetap kena uji bakat,” kongsinya.
Menambah rasa teruja, naskhah berkenaan turut dibintangi aktor Bollywood terkenal, Bobby Deol.
Selepas ini bukan Kollywood saja, saya dah masuk Bollywood juga. Tapi bagi saya, pendek atau panjang, besar atau kecil, projek tetap projek.
“Sama ada filem pendek atau mega, saya akan beri sepenuh tenaga.
“Saya tak pilih kasih. Apabila sudah terlibat, kena memberi sepenuh hati,” tuturnya. – HIBGLAM