‘Bonus kalau dapat isteri pandai masak makanan Melayu’

MENGGEMARI masakan Melayu, pelakon yang semakin digilai ramai, Andy Teh mengakui mencari calon isteri yang pandai masak lauk-pauk Melayu.

Menurut Andy atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Huat, 39, biarpun dia berbangsa Cina, masakan Melayu menjadi pilihan utamanya.

Saya sangat sukakan masakan Melayu. Kalau tanya saya soal ‘ranking’, masakan Melayu berada di tangga pertama, kedua masakan India dan ketiga barulah masakan Cina.

“Kalau dapat calon isteri yang pandai masak masakan Melayu, itu merupakan satu bonus buat saya,” katanya ketika ditemui di majlis Ulang Tahun Andystarian FC dan pelancaran Fuel Food, baru-baru ini.

Atas dasar cintakan masakan Melayu, pelakon filem Blood Brothers : Bara Naga itu mengambil peluang mengeluarkan makanan sedia dimakan yang diberi nama Fuel Food.

Jenama keluarannya itu menawarkan seleksi makanan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia seperti Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam, Roti Canai, Murtabak Ayam dan Murtabak Daging.

Kata Andy idea untuk menghasilkan produk ini muncul selepas dia tercari-cari inisiatif kepada masakan Melayu yang lebih sihat.

“Di set penggambaran ada banyak makanan yang kebanyakannya masakan Melayu. Tetapi ada juga kadangkala makanan tersebut mengandungi kandungan minyak yang tinggi terutamanya makanan yang bergoreng.

“Jadi saya terfikir untuk hasilkan makanan yang serupa tetapi versi yang lebih sihat. Negara kita merupakan antara yang tertinggi mengalami masalah obesiti. Mana lah tahu kalau produk saya dapat kurangkan peratusan tersebut.

“Bahan-bahan yang digunakan dalam Fuel Food lebih sihat contohnya dalam Murtabak Ayam, kita gunakan isi ayam bahagian dada yang mengandungi protein,” kongsinya.

Menceburi bidang perniagaan berasaskan makanan pastinya sangat mencabar terutamanya apabila membabitkan citarasa pelanggan. Ditanya adakah dia sudah bersedia seandainya mendapat maklum balas negatif daripada pelanggan, kata Andy setiap individu menpunyai cita rasa tersendiri.

“Bila kita buat bisnes tak kisahlah bisnes apa sekalipun, pasti ada yang suka dan tidak. Kalau orang suka dengan produk saya, saya sangat bersyukur dan berterima kasih.

“Jika sebaliknya, saya akan dapatkan maklumat mengapa mereka tidak suka agar dapat perbaiki masa akan datang. Saya harapkan mendapat maklum balas yang ikhlas daripada pembeli,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Andy bakal muncul dengan filem baharu berjudul Abah Saya Uncle Mike yang diinpirasikan daripada kisah benar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok