KUMPULAN Exists menyarankan komposer Man Senoi, Mama Rap bersama kumpulan 4U2C bertemu bagi menyelesaikan isu hak cipta lagu untuk konsert WE 4U2C Live In Concert yang akan berlangsung pada 15 September depan.
Menurut salah seorang anggotanya yang juga komposer iaitu Ajai, kedua-dua pihak seharusnya berbincang untuk mencapai kata sepakat agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Perkara ini sebenarnya boleh ‘win win situation’ dan mereka perlu saling betolak ansur. Industri kita ini tak besar, kecil saja. Kalau kita berkeras sangat pun, tidak memberi apa-apa hasil.
“Mungkin mereka ada masalah dalaman yang kita tak tahu tetapi perkara ini boleh diselesaikan dan berbincang,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Exists Premium Live @ PJ, di sini, hari ini.
Ajai berkata, wajar untuk setiap penggiat industri peka dengan ilmu berkaitan hak cipta.
“Badan pelesenan iaitu Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) adalah untuk penulis dan hal yang Man Senoi serta Mama Rap cakap adalah mengenai ‘sound audio’ iaitu bahan rakaman.
“Bila bercakap soal bahan rakaman, memang adalah hak kepada ‘investor’. Jadi, saya nak pesan kepada penyanyi dan semua yang ada dalam industri supaya faham mengenai hal begini.
“Jangan main langgar sebab membabitkan hak cipta yang digunakan seluruh dunia,” katanya lagi.
Ujar Ajai, tindakan Man Senoi menyuarakan isu tersebut adalah wajar kerana dia merupakan pemilik kepada melodi lagu-lagu yang dinyanyikan 4U2C dalam konsert tersebut.
“Saya tak pastilah mereka boleh teruskan konsert atau tidak tetapi kalau ikut peraturannya, tak boleh sebab Man Senoi adalah pemilik ‘bunyi’ lagu mereka.
“Tindakan Man Senoi dan Mama Rap itu wajar sebab dia adalah pemilik. Cuma jika ikut perikemanusiaan, perkara ini boleh dibawa berbincang untuk selesaikan masalah ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Exists mengumumkan bakal mengadakan sebuah konsert Exists Premium Live di JioSpace, Petaling Jaya pada 4 Oktober depan.
Konsert tersebut disifatkan lebih intim dengan peminat dan premium daripada segi kualiti audio.
“Ini konsert istimewa untuk para peminat kami.
“Tidak berskala terlalu besar sebab fokus kami adalah ‘intimate’ dan lebih dekat dengan peminat,” ujarnya lagi.
Terdahulu, kemelut berhubung isu hak cipta itu tercetus apabila Man Senoi dan Mama Rap mendedahkan mereka tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert itu.
Man Senoi turut mempersoalkan bagaimana kumpulan berkenaan hendak mengadakan konsert sekiranya 25 buah lagu dinyanyikan adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.
Konsert WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event yang bakal diadakan di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam. – HIBGLAM