Terseret penipuan pakej haji, Amir Ukays ambil tindakan undang-undang

SUDAHLAH impian mengerjakan haji tidak kesampaian, penyanyi, Amir Ukays bertambah kecewa apabila reputasi dan nama baiknya apabila kerap disebut-sebut seorang wanita yang dikaitkan dengan penipuan penajaan ibadah terbesar umat Islam tersebut.

Enggan terus dipijak, Amir atau nama sebenar, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 56, mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita terbabit.

“Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap individu wanita yang petik nama saya dalam sidang media yang diadakannya beberapa kali. Saya akan saman dia.

“Mungkin dia bengang dan tuduh saya sebut namanya dalam laporan polis yang saya buat sedangkan saya tak sebut pun nama dia.

“Tujuan saya buat laporan polis hanyalah untuk mendapatkan balik passport saya dan isteri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Amir, dakwaan kononnya dia mencetuskan provokasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) langsung tidak berasas sebaliknya dirinya dan isteri hanya menunggu dengan sabar seperti yang dijanjikan.

“Kami tunggu dari jam 11 malam sampai 7 pagi.

“Katanya penaja akan datang bawa dokumen, tapi tak muncul-muncul. Visa tak ada, tiket pun tak dapat,” jelasnya.

Mengulas bagaimana boleh terpedaya dengan tawaran berkenaan, pelantun Di Sana Menanti Di Sini Menunggu itu berkata keyakinan tersebut hadir apabila pihak terbabit mendakwa penajaan datang daripada kerabat diraja sebuah negeri.

“Maklumat itu diberitahu isteri saya. Katanya staf pejabatnya cakap semua kos ditaja kerabat diraja.

“Bila dengar kerabat diraja, saya pun tak tanya lebih-lebih. Dalam grup WhatsApp, staf itu beritahu jangan banyak soal sebab kena jaga hati penaja.

“Bila orang dah nak taja, kita pun rasa bersyukur. Jadi kami pun senyap saja,” ujarnya.

Amir turut menegaskan dirinya tidak akan berdiam diri apabila maruah dicalar dan kenyataan diseleweng sesuka hati.

“Saya memang tak puas hati. Dia jadi gelabah sebab penipuannya jadi perhatian. Dia nak alih tumpuan, jadi dia serang saya.

“Tapi saya artis, saya ada suara. Saya akan pertahankan diri,” tegasnya.

Terdahulu, penghibur legenda itu sepatutnya berlepas ke tanah suci pada 1 Jun lalu bersama isterinya, Sarimah Ahmad, 51, serta 77 jemaah lain, namun impian mereka terkubur akibat ditipu syarikat yang kononnya menawarkan penajaan penuh.

Amir bersama enam jemaah lain sudah membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.– HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok