‘Saya masak bukan nak bagi awak makan’

MEMASAK kononnya hendak berkongsi ilmu, tetapi lain pula respons diterima pelakon Zara Zya apabila terpaksa makan hati dengan kecaman netizen.

Terkilan terhadap komen negatif netizen yang mempertikaikan cara masakannya, khususnya tentang penggunaan daun kari dalam hidangan asam pedas, Zara bagaimanapun tampil dengan pendekatan berhemah.

Ujar Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 38, niatnya hanya untuk berkongsi minat dan resepi kepada sesiapa yang ingin mencuba, bukan untuk memuaskan selera mana-mana pihak.

“Saya masak bukan nak bagi awak makan. Saya masak untuk diri sendiri dan keluarga.

“Asam pedas tu resepi kawan mama saya dari Melaka, sampai sekarang masih jadi lauk kegemaran,” tulisnya dalam platform Threads.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial meninggalkan komen menghina hasil masakan Zara dengan menyifatkannya memandai mandai serta mengecam penggunaan daun kari dalam asam pedas.

Mengulas lanjut, pelakon Dia Imamku itu menegaskan dirinya tidak memaksa sesiapa untuk mengikut caranya memasak, apatah lagi dalam soal rasa yang disifatkan subjektif.

“Saya suka dan saya kongsi untuk sesiapa yang nak cuba.

“Ingat daun kari tu untuk kari semata-mata ke? Sebab itu ada pepatah, pergilah belajar sampai ke negeri China. Luaskan minda,” ujarnya.

Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian Anugerah Skrin 2019 itu turut menyelar sikap sesetengah netizen yang mudah menghina walaupun seseorang berkongsi sesuatu yang baik.

“Orang dah kongsi ilmu, dia pula kata kita bodoh?

“Indah sungguh bahasa. Benci sangat ke dengan saya?” tambahnya.

Perkongsian aktres itu menerima sokongan padu peminat, malah ramai memuji cara tenangnya menjawab tohmahan tanpa sebarang kata-kata kesat.

Ini bukanlah kali pertama Zara berdepan kecaman berkaitan makanan malah pada Mac lalu, perniagaan kambing perapnya di Bazar Ramadan dikritik pelanggan yang mendakwa juadah dibeli tidak sepadan dengan berat 150 gram seperti diiklankan.

Lebih teruk, makanan jualannya itu juga hanya diberi penilaian satu daripada 10 dan disifatkan indah khabar dari rupa. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok