‘Kalau tiada di dunia, mungkin jodoh saya di syurga’

HAMPIR dua dekad bertapak dalam industri tanah air, nama pelakon Sherry Ibrahim sudah mesra di hati khalayak dan pemuja bakatnya.

Meniti tahun-tahun dengan ceritera tersendiri, Sherry juga tidak pernah lekang daripada radar dunia hiburan.
Meski tidak kerap muncul di skrin utama, dia masih punyai dan pesona tersendiri

Ramah dalam santun, pemilik nama sebenar Syarizad Ibrahim itu menjawab setiap soalan dengan kelembutan yang menyentuh rasa, biarpun ada kalanya mengusik sisi peribadinya.

Ketika bertentang mata dengannya, penulis memilih untuk tidak mengungkit kisah basi yang sudah terkambus waktu, sebaliknya fokus hanya pada dirinya yang kini kelihatan semakin berseri-seri.

Melihatkan raut wajah ceria, senyuman tak lekang dari bibir dan aura positif menyelubungi dirinya, timbul persoalan adakah kebahagiaan terpancar itu datang daripada seorang istimewa yang sedang bertakhta di hati?

TRAUMA dengan kegagalan hubungan masa lalu baik cinta mahupun persahabatan, Sherry kini lebih berhati-hati untuk rapat dengan mana-mana individu. – Solekan ELMANDA ZUHAIRY

Tak bagi muka

Hanya tersenyum, pelakon berusia 42 tahun itu menegaskan tidak semestinya kebahagiaan seorang wanita itu lahir daripada cinta lelaki semata-mata.

“Tak semestinya kebahagiaan tu datang daripada cinta sahaja. Banyak perkara lain yang buat saya tenang dan bahagia. Alhamdulillah, saya gembira.

Dua tahun lalu, saya pernah berada di titik terendah. Tapi sekarang banyak perkara sudah selesai dan Allah mudahkan.

“Saya pun dah naik berat badan sikit. Itu tandanya saya okey dan stabil,” katanya kepada HibGlam.

Bagi bekas pramugari itu, kehidupan wanita solo itu itu harus sentiasa gembira dan bahagia atas kaki sendiri.

Sendirian juga mengajarnya untuk lebih kenal erti syukur dan redha.

Pun begitu, pelakon drama Gadis Masa itu tidak menafikan, sering didekati lelaki daripada pelbagai latar belakang, namun pengalaman hidup telah mengajarnya untuk lebih berhati-hati dan tidak lagi mudah membuka pintu hati.

“Tipulah kalau saya cakap tak ada lelaki yang cuba mendekati. Tapi saya sangat berhati-hati, perlu selektif. Dengan kegagalan lalu, memang saya trauma, mahu percaya orang pun susah.

Saya jenis mudah mesra dengan orang tetapi sukar untuk didekati. Lelaki nak mengurat pun, saya tak bagi muka. Tak kisah siapa pun.

“Saya pula bukan jenis menggedik, hidup mengajar saya untuk lebih waspada,” luahnya jujur.

TRAUMA dengan kegagalan hubungan masa lalu baik cinta mahupun persahabatan, Sherry kini lebih berhati-hati untuk rapat dengan mana-mana individu. – Penata Gaya NANACHAH

Paling penting, kata anak jati Selangor itu, andai ada lelaki yang ingin bertakhta di hatinya, biarlah datang dengan keikhlasan, bukan sekadar mahu mencuba nasib.

“Sejak usia 18 tahun saya sudah bekerja. Saya dah jumpa macam-macam jenis orang, pelbagai bangsa, pangkat dan status.

Pada akhirnya, saya hanya mahukan seseorang yang ikhlas dan mampu jaga saya.

“Sebab selama ini, saya jaga diri sendiri, susah senang semua tanggung sendiri,” katanya.

Tiada perancangan

Buat masa ini, perkahwinan juga bukan lagi keutamaan buat Sherry.

Pada usia sekarang, dia juga tidak lagi mengejar garis masa atau mengikut tekanan masyarakat malah menyerahkan semuanya kepada Ilahi.

“Apa yang datang selepas ini, saya yakin itu yang terbaik. Saya dah tak nak buang masa, umur pun semakin meningkat. Kalau ada, adalah. Kalau tiada di dunia, mungkin jodoh saya di syurga.

Saya sendiri memang tak mencari. Kalau ada lelaki yang jujur, ikhlas nak kahwin dengan saya, silakan jumpa papa dan mama saya, itu barulah tandanya dia bersungguh.

“Saya tak nak ulang kesilapan lama. Rancang pun tak menjadi, baik tak payah. Sekarang saya berserah,” ujarnya.

Meskipun hidup solo, Sherry bersyukur apabila dirinya menjadi inspirasi kepada ramai wanita sebaya yang turut berhadapan jalan cerita hampir serupa.

MASIH belum ada sesiapa bertakhta di hati, namun Sherry tidak menafikan ada deretan jejaka cuba menghimpitnya untuk mencuba nasib. – Busana UiTM Fashion Management

“Ramai juga perempuan umur saya yang mesej, beri komen. Katanya, saya beri mereka kekuatan untuk terus hidup walau tak ada pasangan. Saya doakan mereka pun kuat.

“Hidup ‘single’ pun bukan bermakna kita sedih, kadangkala kita tengok ramai sahaja orang kahwin tak bahagia, banyak masalah. Lebih baik solo, tak pening kepala,” jelasnya.

Luka

Menelan semua kepahitan hidup, Sherry mahu tampil sebagai wanita matang. Trauma lalu bukan lagi beban, tetapi kekuatan yang membina dirinya.

“Hanya kita yang tahu isi hati sendiri. Kadang-kadang bila kita bersama seseorang pun, belum tentu benar-benar bahagia. Kita boleh menipu orang luar, tapi tidak hati sendiri. Saya tak suka berpura-pura.

Sebab saya percaya, kalau kita terlalu banyak berpura-pura, akhirnya kita penat. Bila balik rumah, kita sedih, tapi di luar kita senyum.

“Itu bukan kehidupan yang saya mahukan. Saya mahu hidup yang jujur pada diri sendiri,” katanya.

Baru selesai dengan Nikmat Hanya Sesaat yang berlabuh 11 Jun lalu, Sherry kini sedang mempersiapkan diri untuk ke set penggambaran seterusnya.

“Fokus saya memang kerja, rehat dan bergembira. Tawaran tak kencang tapi pada umur sekarang, saya buat apa yang membuatkan kita gembira di samping keluarga dan fokus bisnes sedia ada,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok