TAMPAK sihat selain aktif bersukan, bekas penyampai radio, Kieran sebenarnya terduduk selepas disahkan menghidap kanser testis tahap empat pada Oktober tahun lalu.
Semuanya berubah, dunia terang tiba-tiba terasa gelap gelita, yang terpasak dalam fikiran bapa kepada tiga cahaya mata itu hanyalah kematian.
Setiap hari hidupnya seolah-olah diburu ketakutan, tidak tahu apa yang bakal dihadapi sehingga beranggapan hari-hari yang dilalui adalah selangkah demi selangkah untuk bertemu malaikat maut.
Tangguh 6 bulan
Lebih memburukkan keadaan, pemilik nama sebenar Maskiran Jakiran, 50, itu mengambil masa enam bulan untuk membuat pemeriksaan doktor bagi megenal pasti apakah sebenarnya ketulan di bahagian alat sulitnya.

KIERAN mengambil masa yang agak lama untuk menerima hakikat dirinya menghidap kanser dan pada ketika itu hanya memikirkan soal kematian serta insan-insan yang bakal ditinggalkan.
Sama macam kanser payudara, saya rasa ada ketulan keras di kemaluan saya. Sebelum jumpa doktor, saya sudah agak itu kanser testis sebab buat bacaan terlebih dahulu dalam Google.
“Bila ketulan makin membesar, saya jadi panik tetapi takut nak pergi jumpa doktor. Lagi pun ada kerja yang perlu diselesaikan.
Lebih enam bulan juga saya tangguh berjumpa doktor sebab takut berdepan kemungkinan. Tapi nasib baik kanser tak sampai ke buah pinggang.
“Sebelum jumpa doktor, keadaan saya tak seronok langsung. Batuk tak berhenti, perut rasa keras dan saya hilang berat badan sebanyak 21 kilogram (kg),”
“Masa itu juga, saya simpan sendiri rasa sakit, saya tidur kat luar bukan dalam bilik dengan alasan nak tengok televisyen, padahal saya sakit,” ceritanya kepada HibGlam.
Bukan hanya berselubung kebimbangan, penyampai radio yang berusia 50 tahun itu mengakui sengaja melengahkan waktu menjalani pemeriksaan demi meluangkan lebih masa bersama keluarga.
Persoalan pertama yang berlegar dalam di kepala adalah baki tempoh masa untuk terus hidup.
“Saya lambat buat pemeriksaan doktor sebab nak tunggu hari jadi anak-anak dan mak saya. Takut saya ‘pergi’ sebelum itu, mak menangis pula.
Ketika jumpa doktor, dalam fikiran hanya nak tanya ada berapa lama tempoh untuk saya hidup.
“Belum apa-apa, doktor cakap boleh rawat saya. Soalan itu macam ‘tertelan’. Jadi, saya dengar saja penjelasan doktor.
Semasa selesai buat pemeriksaan dan keputusan menunjukkan kanser tahap empat, nafas saya dah jadi pendek-pendek.
“Batuk tak berhenti, baca al-Fatihah pun dua ayat saja mampu,” ceritanya.

KIERAN berkongsi momen mendebarkan dalam hidupnya pabila disahkan menghidap kanser prostar kepada wartawan HibGlam, Nur Al-Fairuza Syarfa.
Selepas beberapa bulan dirawat di wad Jabatan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur, bekas pengacara program realiti Roda Impian itu menarik nafas lega apabila sel kansernya hampir hilang dengan sangat cepat.
Lepas habis kemoterapi dan pembedahan serta dua kali imbasan CT atau Computed Tomography Scan, alhamdulillah!. Doktor pun gembira kerana 90 peratus sel kanser sudah hilang.
“Sekarang, doktor kata semua baik dan tiada masalah. Cuma kondisi badan memang lemah sikit sebab bila buat kemoterapi sel banyak yang mati.
“Doktor pun nasihatkan saya untuk kembali aktif bersukan sebab dia tahu saya memang aktif sukan,” ujarnya.
Pasca kemoterapi
Benarlah usaha tidak mengkhianati hasil, namun setiap langkah pasti ada pro dan kontranya juga.
Lazimnya, kemoterapi menjadi mimpi ngeri bagi sesetengah orang dan Kieran turut berdepan kesan sampingan selepas empat kali sesi berkenaan.
Selepas kemoterapi yang tak seronok bila nak bangun dari duduk tiba-tiba rasa nak pitam. Rasa semuanya berpusing.
“Tapi doktor kata itu semua normal, kita penat atau lama sangat duduk memang darah tak berjalan dengan baik.
Selepas buat ujian, doktor kata semua bagus cuma telinga saya selalu dengar bunyi berdesing. Rupa-rupanya, tahap pendengaran saya mengalami penurunan.
“Tengah cakap pun bunyi berdesing cuma tak maksimum. Saya boleh dengar orang cakap, televisyen, atau apa pun cuma agak mengganggu,” jelasnya.

KIERAN kini sudah mampu tersenyum dan menjalani rutin harian seperti biasa, bahkan kembali bertugas sebagai penyampai radio separuh masa di konti Kool 101.
Dia juga pernah berjaga sehingga pagi bagi melawan rasa loya mahu muntah kesan daripada kemoterapi.
“Ada kawan pesan kalau rasa nak muntah kena lawan sebab nanti saya akan jadi lembik.
Saya dengar kata-kata dia dan cuba buat apa yang disarankan. Ada sekali sampai pukul 5 pagi saya tak tidur sebab tahan muntah.
“Alhamdulillah, sekali pun saya tak muntah tanpa bantuan ubat walaupun sudah disediakan. Doktor pun puji,” tuturnya.
Sebelum menggulung bicara, Kieran sempat tertawa menceritakan kenangan menerima pelawat yang sangat ramai semasa berada dalam wad hospital.
“Masa di hospital, ramai datang melawat, dah macam pesta. Saya tidak tahu pun orang nak datang sebab dah lama berhenti kerja, ingat orang dah lupa.
Dari tengah hari sampai petang selama empat hari berturut-turut pelawat datang bersilih ganti, masuk hari kelima doktor dah tak bagi. Saya takut juga dimarahi orang lain.
“Kawan-kawan datang, ada yang 10 tahun tak jumpa pun melawat. Itu yang sangat saya hargai,” tutupnya. – HIBGLAM