‘Dihalau dari surau, kudis kehidupan, realiti memang pahit’

INSIDEN melibatkan seorang warga emas lelaki yang dihalau keluar dari sebuah surau ketika sedang beriktikaf bukan sahaja menyentuh hati bahkan memberi satu tamparan yang kuat kepada banyak.

Turut terkesan dengan situasi yang dianggap tidak wajar tersebut, pelakon Azhan Rani  menyifatkan rakaman video pendek memperlihatkan seorang lelaki tua diminta keluar dari surau atas alasan pembaziran tenaga elektrik dan risiko kecurian nyata mencemarkan imej rumah ibadah umat Islam.

Menurut Azhan atau nama sebenarnya Azhan Abd. Rani, 49, paparan tersebut mengingatkan dirinya terhadap sebuah naskhah lakonannya, Nur yang fenomena tidak lama dahulu.

“Hari ini saya tertonton satu video, seorang pakcik sedang beriktikaf dalam surau dihalau keluar sambil direkod dan dimuat naik ke media sosial.

“Alasannya kerana pembaziran elektrik dan nak elakkan kecurian sebab dah lepas waktu solat fardu,” kata pelakon Seribu Tahun itu dalam Instagram.

Katanya, apa yang berlaku seakan-akan mengiakan bahawa kudis-kudis yang dipertontonkan dalam drama tidak terlepas daripada realiti.

“Dalam Nur pun ada babak seumpama ini. Tok siak halau perempuan lorong dari masjid sebab rasa dia tak layak.

“Tapi itu dalam drama. Kisah pakcik ini pula berlaku dalam realiti. Kebenaran memang pahit.

“Dalam drama, orang marah kalau kudis-kudis kehidupan ini dibongkar. Tapi mampukah kita menafikan realiti hidup tak terpalit kudis yang sama?,” soalnya.

Mengakhiri luahannya, aktor itu menyeru agar masyarakat mengambil iktibar dan berhenti menghukum secara membuta tuli.

“Semoga yang keruh dapat dijernihkan. Semoga ada pengajaran untuk kita semua. Doa yang baik-baik buat pak cik itu dan juga kepada yang merakam.

“Andai hari ini tersasar, moga esok ada jalan pulang buat kita semua,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan insiden membabitkan seorang jemaah lelaki yang juga bapa kepada pendakwah terkenal, PU Azhar Hilmi, dihalau dari sebuah surau di Teluk Panglima Garang.

Tindakan seorang wanita menghalau lelaki tersebut mencetuskan kecaman ramai kerana bertentangan dengan peranan surau sebagai tempat ibadah, bukan ruang diskriminasi.

Difahamkan, wanita terbabit bukan dalam kalangan ahli jawatankuasa surau berkenaan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok