‘Cepatlah naik pelamin’ – harapan ramai buat Bella, Syed Saddiq

CEPATLAH naik pelamin.”

Rasanya begitulah harapan rata-rata peminat dan penyokong kisah ‘cinta dan perjuangan’ antara penyanyi juga pelakon, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Masakan tidak, jika sebelum ini kes mahkamah dianggap sebagai halangan untuk mereka bersatu, kini selepas Saddiq dilepaskan dan dibebaskan daripada sebarang pertuduhan, harapan untuk melihat mereka melangkah ke jenjang pelamin yang selama ini menjadi angan-angan kelompok pemuja tegar digelar BASS terus memuncak.

Meski pasangan itu tidak pernah mengesahkan hubungan secara rasmi, tetapi perlakuan seperti kehadiran Bella setiap kali perbicaraan mahkamah dan kenyataan terbukanya yang menyifatkan Saddiq atau nama lengkapnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai lelaki yang baik serta hero mengiyakan hubungan mereka.

Tahniah YB Syed Saddiq. Hari yang besar untuk lelaki yang baik, tidak semua hero memakai ‘cape’, tetapi memakai sut dan tidak putus asa. Keadilan ditegakkan,” tulisnya dalam Instagram bersama sekeping gambar ‘candid’ mereka berdua di mahkamah.

Bella juga dilihat mesra dengan ahli keluarga Saddiq, terutama semasa di mahkamah. Dia bahkan ikut menitiskan air mata tanda gembira apabila Saddiq diputuskan bebas daripada segala pertuduhan.

KEHADIRAN Bella di sisi Syed Saddiq sekeluarga secara halus memberi isyarat ada ikatan istimewa antara mereka yang sedang direstui semua.

Biarpun memilih mengunci mulut apabila disoal perancangan seriusnya bersama Bella, isi hati Saddiq dan Bella seperti mudah diramal netizen.

Lelaki itu juga menyifatkan Bella sebagai wanita luar biasa meskipun baru berkenalan beberapa bulan selepas sama-sama menjadi duta pelbagai produk.

“Memang saya terhutang budi dengan Bella.

Walaupun kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak beberapa bulan lalu, dia sentiasa ada untuk buat saya gembira, bekerja bersama-sama dan sampai ke hari ini sentiasa berada di sisi,” ujarnya dalam sesi siaran langsung TikTok miliknya pada malam Rabu.

Tak lupa janji

Sesudah bebas, Saddiq juga berjanji kepada netizen untuk tidak melupakan jasa dan budi baik Bella terhadapnya.

Saya tidak akan lupa perkara tersebut, anda (netizen) semua tak perlu risau tentang itu. Kerana hutang budi itu perlu dibalas dan tidak akan dilupakan.

“Ujian yang saya lalui (kes mahkamah) tidak ada apa sangat berbanding dengan ujian yang Bella terima sebelum ini,” tuturnya yang secara tidak langsung melegakan hati peminat mereka berdua.

Hal ini kerana sejak bekerjasama mempromosi baju raya dan pelbagai produk lain, imej Syed Saddiq secara automatik pulih secara drastik, malah ramai yang bersimpati terhadapnya.

Pulih imej

Jika diukur daripada karier politik, Bella memberi kelebihan kepada Saddiq, imej yang baik, simpati masyarakat (terhadap kes mahkamah) dan mungkin juga memperluaskan kuasa politik sehingga ke tempat kelahiran Bella di Sabah.

Cuma apa yang diharapkan, cinta dan kasih sayang yang dipertontonkan kepada khalayak bukanlah sekadar wayang atau dunia tipu-tipu semata-mata, sebaliknya sebuah kisah tulus daripada dua dunia yang berbeza.

Apa yang pasti jika cinta antara mereka menjadi kenyataan, satu Malaysia akan bergembira meraikan kebahagiaan selepas kemelut dan ujian yang dihadapi sama-sama mereka lalui walaupun dalam acuan berbeza. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok