TERBUKA berkongsi masalah ketagihan alkohol suatu masa lalu, aktor Brad Pitt mengakui perjuangan melalui proses pemulihan sangat memeritkan.
Pelakon berusia 61 tahun itu mendedahkan, fasa keretakan rumah tangga dengan aktres Angelina Jolie membuatkannya cuba kembali kepada gaya hidup sihat.
Sokongan insan sekeliling termasuk rakan seperjuangan antaranya Bradley Cooper mendorongnya mendapatkan bantuan kumpulan sokongan Alcoholics Anonymous (AA).
“Saya benar-benar terduduk. Saya perlu disedarkan. Waktu itu saya sangat rapuh tetapi mencuba apa jua usaha yang disarankan orang lain.
Antara rakan yang kuat bagi semangat adalah Bradley Cooper. Beliau buat saya percaya saya mampu melawan keinginan terhadap minuman keras dan hadir ke perhimpunan AA.
“Awalnya saya gugup kerana setiap orang perlu bercakap, berkongsi pengalaman. Itu adalah proses dan saya berbesar hati menyertai sesi tersebut,” ungkapnya.
Lahir di Oklahoma dan dibesarkan di Missouri, Amerika Syarikat, Pitt menyatakan kehidupan zaman mudanya yang tidak berkongsi hal peribadi dengan individu luar menjadikannya insan introvert.
Mungkin kebiasaan dari kecil membuatkan saya susah meluahkan perasaan atau emosi terutama membabitkan isu peribadi seperti ini.
Pitt mengaku pernah mengalami ketagihan selama lima tahun sehingga rumah tangganya porak-peranda. – HIBGLAM