BUKAN mudah terus mengekalkan momentum dalam cabang muzik rock sementelah banyak bakat baharu datang dan pergi silih berganti saban tahun.
Buat band yang kini dianggotai empat ahli terdiri daripada Tam selaku vokalis, Aie (dram), Is (bass) dan Pown (gitar utama), Spider sedar era puncak mereka sudah berakhir, namun terus setia menggauli rezeki dalam dunia seni didorong rasa tanggungjawab terhadap peminat.
Spider sebuah jenama rock yang suatu ketika dahulu sangat dikagumi ramai, kini mereka meneruskan sisa perjuangan tanpa mengeluh. Itu semua atas dasar cinta terhadap muzik yang diperjuangkan.
Kata Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafa, 52, bukan populariti yang dicari tetapi antusias untuk terus menghiburkan penggemar muzik mereka sedari tahun 1996.
Bersara
“Apa yang kami buat sejak 1996 hingga sekarang sudah jadi satu tanggungjawab. Kalau kita tak penuhi permintaan orang (peminat) dan memutuskan untuk bersara, ramai akan hampa.
“Saya ambil juga semangat arwah Tony dan Napie. Tak pernah rasa nak bersara. Nak tak nak, memang kena teruskan perjuangan demi muzik dan peminat.
Saya jumpa mereka yang sokong sejak dahulu, takkan nak ‘tarik handbreak’. Kita jalan ke depan selagi ada kudrat,” katanya kepada HibGlam pada sidang media konsert Spider Unplugged di ibu negara, baru-baru ini.
Ujar Tam, ketiadaan dua anggota asal iaitu Allahyarham Tony dan Napie sedikit sebanyak mengganggu ‘bunyian’ Spider, namun Is dan Pown tetap memberikan komitmen terbaik bagi memastikan jenama kugiran itu terus bernyawa.
Bunyi
“Mesti air tangan jadi lain tapi saya percaya dengan kebolehan dua ‘player’ baharu Spider. Mereka ada sentuhan tersendiri.
“Tak lari jauh sangat pun bahkan, keberadaan mereka dalam Spider hari ini memberi impak dan kelainan.
“Macam Pown sendiri, dia berdepan kesulitan masa mula-mula nak galas Napie punya tugas. Sangat susah. Saya sendiri rasa macam ‘nasib baik saya yang gitaris’ (ketawa).

MASIH bertahan dengan irama yang diperjuangkan, Tam yang mengetuai Spider tidak pernah terniat mahu bersara daripada dunia muzik.
Bayangkan Spider ada enam buah album dan ada 60 lagu yang Pown kena mahir. Ambil masa sikit, namun lama-kelamaan, dia dah jumpa rentak tapi birulah muka dia sikit,” usik Tam berseloroh.
Hampir tiga dasawarsa sebagai satu kumpulan, antara perkara yang membuatkan Spider terus setia menghiburkan peminat adalah impak muzik ditinggalkan kepada peminat.
Kasih Latifah
Ungkap Tam, ada karya yang diterbitkan Spider menjadi penyebab dua jiwa bersatu dalam ikatan suami isteri. Tidak kurang juga, ada yang menamakan anak mereka selepas mendapat inspirasi judul lagu yang pernah diluncurkan.
“Ada banyak lagu yang peminat cakap beri impak kepada mereka. Antaranya, Mungkinkah Terjadi yang dipetik daripada album Ngam Ho jadi antem cari jodoh peminat.
“Ramai peminat jumpa saya cakap disebabkan lagu itu mereka berkahwin. Walaupun benda ini hiburan, sekurang-kurangnya ada manfaat halalkan perhubungan.
“Ada lagu yang buat penganggur semangat nak cari kerja atau pergi kerja. Ada juga karya yang jadi inspirasi buat ibu menamakan anak mereka macam Kasih Latifah.

KEHILANGAN dua anggota asal Allahyarham Tony dan Allahyarham Napie yang dijemput Ilahi, Spider meneruskan antusias muzik dengan dua ahli , Is dan Pown yang ada keunikan tersendiri. – M. FIRDAUS M. JOHARI
“Ada seorang kawan namakan anak dia Kasih Latifah. Baru sahaja bergraduasi tempoh hari, alhamdulillah,” cerita Tam.
Indie, masa depan
Mengalihkan fokal perbualan tentang masa depan muzik rock zaman sekarang, Spider tidak menafikan banyak kumpulan masih belum ‘pecah telur’ menunggu masa sesuai memecah hening arus perdana.
Kata Tam, Malaysia tidak pernah ketandusan bakat, terutama membabitkan muzik punk rock atau ska.
Anak kelahiran Masjid Tanah Melaka itu percaya, kebanyakannya masih bergerak secara ‘underground’.
“Saya dengar muzik sekarang contohnya daripada Late Night Frequency. Sebenarnya, band-band indie banyak cuma saya tak tahu kenapa mereka tak nak ke depan (arus perdana).
Late Night Frequency saya minat dan karya mereka bermutu. Cuma kebanyakan lagu mereka dalam bahasa Inggeris. Kalau dapat di’Melayu’kan kerja-kerja mereka, insya-Allah boleh pergi jauh. Orang akan mula cakap sebab mereka best,” kata Tam.
Menghargai kesetiaan peminat yang terus bersama, Spider kini dalam gerakan menggegarkan pentas dengan sisi berbeza berbanding sebelum dengan konsert Spider Unplugged, sebuah persembahan istimewa yang jarang menjadi amalan dalam kalangan band rock, khususnya di negara ini.

FANDY Alias (kanan) berani menjanjikan sebuah pengalaman konsert unplugged yang rugi jika tidak disaksikan peminat menerusi Spider Unplugged Oktober depan.
Bakal berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Oktober depan, Tam berkata, konsert unplugged dalam format akustik tersebut merupakan antara impian yang sudah lama dihasratkan.
“Mencabar kerana unplugged biasanya dipersembahkan dalam bentuk ‘showcase’ tapi kali ini, kita buat dalam skala konsert.
Mungkin ada lagu yang diolah semula dalam gaya joget, inang atau dimainkan perlahan dengan iringan gendang.
“Kita juga akan gunakan elemen string, brass dan perkusi daripada pemuzik jemputan untuk mempelbagaikan persembahan,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur Naga Legend Entertainment Fandy Alias berkata, Spider dipilih kerana muzik band tersebut yang kekal relevan dan berpotensi diteroka dalam pendekatan baharu lebih segar.
“Walaupun banyak konsert dianjurkan kebelakangan ini, Spider Unplugged pasti memberikan pengalaman berbeza. Kita dah lama tak ada konsert unplugged berskala besar seperti ini. Siapa yang tak datang, pasti rugi,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM198 hingga RM388 dan boleh didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com/spiderunplugged.