KETIKA kebanyakan artis ligat menjayakan konsert solo, penyanyi Hazama tidak terkejar-kejar berbuat demikian memandangkan repertoire dimilikinya belum cukup matang untuk dipersembahkan.
Malah, Hazama atau nama lengkapnya Hazama Ahmad Azmi, 40, mahu mengumpul lebih banyak karya hebat selain ingin melihat penyanyi papan atas mengadakan konsert terlebih dahulu.
“Belum masanya lagi untuk saya buat konsert. Sekarang ini adalah masa untuk saya kumpul lagu, supaya nanti bila saya buat konsert, saya tak perlu nyanyi lagu orang lain
“Saya tidak kejar nak buat konsert pada usia sekarang. Yang patut buat konsert penyanyi seperti Misha Omar, Spider, Dayang Nurfaizah dan beberapa penyanyi lagi sebab mereka sudah cukup ‘masak’ nak buat konsert.
“Kalau artis macam Datuk Awie, Wings, Search, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir itu semua sudah tahap lain,” katanya kepada HibGlam pada sesi eksklusif bersama Amira Othman dan Hazama, di A Quite Karaoke, Bukit Bintang, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Relakan Jiwa itu memaklumkan, dia masih mencari lagu yang boleh meninggalkan memori buat pendengar sebelum mengadakan konsert berskala besar.
“Orang bayar bukan nak dengar lagu, itu boleh dengar dalam Spotify saja tetapi orang nak rasa suasana konsert. Pastikan lagu ‘terror’ (hebat) biar ada memori. Konsert KRU seronok sebab teringat memori lama.
“Lagu saya belum cukup jadi memori. Budak sekarang pula belum jadi memori dah nak buat konsert.
“Budak sekarang tahun ini keluar lagu, tahun depan dah buat konsert. 12 bulan sempat ke orang nak cipta memori dengan lagu itu?,” tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Hazama baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Aku Bukan Narsisis ciptaan Farouk Roman.
Lagu tersebut diangkat sebagai lagu tema rasmi untuk drama adaptasi novel hit Dia Bukan Syurga karya Rissa Ahdiya yang ditayangkan di slot Mega Drama, Astro Ria. – HIBGLAM