MENERIMA jambangan bunga daripada Fattah Amin, penyanyi Amira Othman tidak mengetahui niat sebenar pelakon itu berbuat demikian.
Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, enggan mengulas lanjut perkara itu dan hanya mampu menyerahkan semuanya kepada Tuhan.
“Saya mengakui ‘rakan sekerja’ (Fattah) ada beri bunga. Memang dia ada muat naik hantaran dalam Instagram tapi tidak tahu mengapa, kena tanya dia sendiri, biasalah orang usik-usik kami. Saya pun tak tahu nak komen apa.
“Seperti Fattah tulis dalam Instagram ‘Semoga cepat sembuh rakan sekerja’. Perkara baik kita aminkan, nak cerita lanjut tiada apa pun,”katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada sesi eksklusif bersama Amira Othman dan Hazama, di A Quite Karaoke, Bukit Bintang, semalam.
Pada masa sama, pelantun lagu Hati Hati itu turut mendedahkan Fattah antara rakan paling rapat buat masa ini.
“Sebenarnya ada kawan lelaki rapat tetapi tak ramai antaranya Fattah.
“Mungkin sebab beliau Fattah Amin, peminat dia ramai jadi saya terkena tempias. Dia muat naik apa-apa pun orang nak tahu sebab dia terkenal,” ujarnya.
Berkongsi mengenai rawatan di hospital, Amira mendedahkan bahawa dia mengalami masalah keracunan makanan selepas pulang daripada parti hari jadi.
“Sebenarnya saya kena keracunan makanan dan terlampau dehidrasi sehingga tekanan darah rendah.
“Lima hari saya ditahan wad. Saya sarankan siapa yang kena cepat-cepat pergi hospital. Macam saya, utamakan kerja dahulu sampai tak ada daya kerana terlalu dehidrasi.
“Sekarang dah sembuh sepenuhnya cuma kena pantau dan makan makanan yang boleh naikkan bacaan darah,” kongsinya.
Minggu lalu, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin menghadiahkan dua jambangan bunga sewaktu Amira dimasukkan ke hospital.
Fattah dan ibunya turut melawat Amira di hospital sehingga menyentuh hati ramai netizen malah hubungan mesra mereka mendapat reaksi positif yang membuktikan kasih sayang keluarga Fattah bukan sekadar lakonan dalam media sosial.
Dalam perkembangan lain, Amira melancarkan single terbaharunya berjudul Dalam Sujudku, sebuah lagu balada yang menyelami keperitan jiwa seorang wanita dalam perjuangan mencari kekuatan dan ketenangan hati.
Karya ciptaan Farouk Roman itu juga merupakan lagu tema utama bagi drama Dia Bukan Syurga karya Rissa Ahdiya yang bersiaran di low Mega Drama, Astro Ria. – HIBGLAM