DESAS-desus konsert kumpulan rock terkenal My Chemical Romance atau MCR hangat diperkatakan apabila muncul mesej misteri di sebuah papan iklan digital gergasi di ibu kota baru-baru ini.
Perkara tersebut mula menjadi bualan ramai selepas apabila seorang individu memuat naik video mesej misteri itu dalam aplikasi TikTok sekali gus mencetuskan ‘huru-hara’ peminat band berkenaan kononnya MCR bakal mengadakan konsert di Malaysia.
‘Malaysia, are you okay?’ ayat yang muncul di papan digital tersebut baru-baru ini.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan keterujaan mengenai mesej misteri tersebut selain berharap bukan sekadar gimik kosong.
“Jangan bagi harapan palsu, sebelum ini kami tunggu dua tahun tapi tiada pula mereka datang.
“Kami semua generasi Y yang amat gilakan kumpulan rock itu, konsert terakhir mereka di Malaysia pada 2007, sangat seronok.
“Tolong datang MCR, sudah lama kami menunggu kemunculan semula kumpulan rock generasi Y ini,” komen netizen.
Kali terakhir MCR berkunjung ke Malaysia adalah pada 9 Disember 2007 menerusi konsert The Black Parade Tour yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan dihadiri lebih 10,000 peminat. – HIBGLAM