Iskandar Spring meninggal dunia

PEMAIN gitar kumpulan Spring, Iskandar meninggal dunia di rumahnya di Miri, Sarawak pada pukul 1.45 pagi tadi.

Pemergian Allahyarham Iskandar atau nama penuhnya, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, 56, disahkan Timbalan Presiden Muzik Malaysia, Ayob Abdul Majid yang menzahirkan ucapan takziah atas pemergian sahabat lamanya itu.

“Arwah bukan sekadar seorang pemuzik berbakat dan pengasas kumpulan Spring, malah seorang sahabat seperjuangan yang sangat dekat di hati saya.

Kami pernah bekerja rapat semasa saya bertugas di Sony Music Malaysia, hubungan kami bukan sekadar profesional malah sarat nilai persahabatan dan saling menghormati.

“Saya turut bersedih kerana mengikuti rapat keadaan kesihatan arwah yang diuji dengan strok dan kegagalan buah pinggang sebelum berhijrah ke Miri, kampung isteri beliau,” katanya.

Ujarnya, kali terakhir mereka berhubung ialah ketika dia menyampaikan sedikit sumbangan kepada Iskandar.

Suaranya tetap tenang, sabar dan penuh rasa syukur walaupun dalam ujian yang berat. Arwah juga tidak pernah dilupakan sahabat-sahabat seni.

“Program itu bukan sekadar mengumpul dana, tetapi lambang kasih dan setia kawan dalam dunia seni tanah air. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat dunia muzik Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Iskandar yang lumpuh akibat menderita pelbagai penyakit kronik, sukar bertutur serta menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang berhijrah ke kampung isterinya di Miri pada April 2023 untuk lebih dekat dengan keluarga isterinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok