MAHU menunjukkan contoh yang baik kepada anak, penyanyi Tomok berusaha keras menyelesaikan pengajian di sebuah universiti awam sejak beberapa bulan yang lalu.
Tomok atau nama lengkapnya Shah Indrawan Ismail, 41, berkata dia menyambung pengajia Ijazah Sarjana dengan melakukan tesis.
“Saya sambung belajar agak lambat daripada orang lain. Saya mahu buktikan bahawa usia bukan penghalang, boleh sambung belajar.
Yang penting kita usaha, kita betul-betul mahu berjaya dalam hidup.
“Saya sudah berkeluarga jadi saya mahu tunjukkan contoh yang baik untuk anak-anak dan diri saya sendiri,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Sejarah Mungkin Berulang, hasratnya untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana ialah untuk menjadi contoh yang baik kepada khalayak untuk masa akan datang.
Jika diberi peluang untuk sambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (phD), saya memang mahu tetapi ikut kepada keadaan ketika itu.
“Saya mahu bergelar sebagai anak seni yang mempunyai contoh yang baik.
“InsyaAllah, jika kudrat saya masih boleh teruskan untuk sambung belajar pada masa akan datang, saya akan buat,” ujarnya ketika ditemui di konsert minggu pertama Raise The Star Malaysia, semalam.
Sekadar info, Tomok hadir sebagai juri jemputan bagi rancangan realiti Raise The Star Malaysia, menggantikan Aina Abdul yang tidak dapat hadir kerana urusan kerja di luar negara.
Tomok juga sempat mengumumkan bahawa dia dan Siti Nordiana bakal mengeluarkan lagu duet terbaharu mereka pada 26 Jun ini. – HIBGLAM