Game Changers UKM tingkat kesedaran tentang realiti komunikasi antarabangsa

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) berjaya menganjurkan sebuah sesi inspirasi dan persembahan eksklusif menerusi acara Game Changers: Antara Budaya dan Sukan, yang menghimpunkan barisan ikon negara daripada dunia sukan dan seni dalam satu pentas pada 19 Jun lalu.

Game Changers direalisasikan sepenuhnya pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi UKM sebagai sebahagian penilaian bagi Kursus Seminar Komunikasi Antarabudaya dan menjadi medan penggabungan teori akademik dengan pelaksanaan sebenar dalam pengurusan acara serta komunikasi strategik.

Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad selaku pensyarah kursus dan penasihat program berkata Program Game Changers ini lahir dari inisiatif dan kreativiti pelajar sarjana kursus Seminar Komunikasi Antarabudaya, Pusat Kajian Media dan Komunikasi, FSSK UKM.

“Setelah perancangan penuh teliti, alhamdulillah pelajar berjaya mempraktikkan apa yang dibelajar di dalam kuliah ke dalam sebuah program yang menyatu-padukan artis dan ahli sukan dalam satu platform untuk berbincang tentang isu identiti dan budaya berdasarkan pengalaman antara budaya mereka.

Program ini berjaya mendedahkan mahasiswa tentang kepentingan komunikasi antara budaya dalam kehidupan serta mendalami pengalaman ahli sukan dan artis memartabatkan budaya dan negara.

Acara ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Bin Othman, disaksikan oleh Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Penasihat Game Changers UKM, Prof Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad, serta Pengarah Projek, Muhammad Hazam Hajanan.

Bertemakan ‘Dari Gelanggang ke Panggung Dunia: Cerita Budaya dan Sukan Malaysia’, acara ini mengetengahkan peranan atlet dan artis sebagai duta budaya yang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi komunikasi rentas budaya dan semangat nasionalisme yang tinggi,” katanya.

Antara tokoh sukan negara yang dijemput sebagai panel ialah Al Jufferi Jamari (Silat), Norshahrul Idlan Talaha (Bola Sepak), Adli Hafidz ‘Golden Boy’ (Tinju), Amisha Azrilrizal dan Ali Yaakub (Muay Thai) serta Sharul Aimy (Gimnastik).

Mereka berkongsi pengalaman mendalam tentang cabaran penyesuaian budaya, komunikasi dengan jurulatih asing serta strategi membina jaringan dalam karier antarabangsa.

Acara tersebut juga diserikan dengan persembahan eksklusif barisan artis ternama tanah air seperti Noraniza Idris (Ratu Irama Malaysia & Etnik Kreatif), Mawi (Juara Akademi Fantasia) dan Tomok (Ikon Pop & vokalis New Boyz).

Dikendalikan Andy Reza Rohadian (Personaliti RTM) manakala sesi inspirasi dikemudi oleh penyampai radio ERA Isha Norsham, Game Changers turut menampilkan Mawi dan Tomok berkongsi pandangan serta pengalaman mereka dalam dunia seni daripada era realiti TV hingga ke pentas profesional yang mengubah landskap hiburan tempatan.

Secara keseluruhan, Game Changers memberi penekanan kepada kepentingan komunikasi rentas budaya sebagai kemahiran penting abad ke-21 yang bukan sahaja relevan dalam bidang sukan dan hiburan, tetapi turut merentas semua sektor kerjaya.

Acara yang menerima sokongan daripada rakan industri seperti ICON Entertainment by Iman Tang, Sinar Harian, Astro Gempak, ERA FM serta Tenera Hotel & Suites bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang realiti komunikasi antarabangsa, memberi inspirasi melalui kisah sebenar tokoh-tokoh negara serta memperkukuh identiti dan jati diri rakyat Malaysia di peringkat global.

Untuk info lanjut dan sorotan acara, ikuti laman rasmi Instagram: @gamechangers_ukm. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok