‘Wartawan paling suportif, tolong saya sejak 1999’

MULA kenal Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar Mohamad sejak lewat era 1990-an, penyanyi Siti Nordiana sangat terhutang budi terhadap wartawan hiburan senior itu yang banyak membantu perjalanan karier seninya.

Malah, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, 40, berkata, arwah sering memberi sokongan lebih-lebih lagi semasa menyertai majlis Anugerah Bintang Popular (ABP).

“Sebenarnya saya sangat mengenali Kak Raja sejak awal karier pada 1999 lagi. Beliau memang sudah ada dalam industri wartawan ini.

“Jadi, beliau antara wartawan yang awal-awal dulu yang banyak bagi sokongan dekat saya.

“Sampai sekarang dan malah kalau setiap kali ABP, arwah antara yang selalu membantu saya bersama-sama kelab peminat,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kajang bagi pengurusan jenazah, hari ini.

Menganggap Raja Nurfatimah sebagai kakak, pelantun lagu Memori Berkasih itu berharap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan arwah.

“Arwah juga sangat baik dan sudah saya anggap sebagai kakak yang banyak memberikan nasihat kepada saya.

“Saya harap kita semua boleh mendoakan semoga roh arwah Kak Raja ditempatkan di kalangan orang soleh,” ujarnya lagi.

Hari ini, Raja Nurfatimah meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, di sini selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira pukul 2 petang, semalam.

Jenazah Allahyarham Raja Nurfatimah dibawa ke Hospital Kajang, bagi menjalani postmortem yang akan berlangsung malam ini.

Jenazah Allahyaham Raja Nurfatimah kemudian dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Haji Kadir Pasir Panjang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok