Enggan membiarkan emosi dikawal kebencian, penyanyi Khai Bahar memilih untuk tidak meneruskan hasrat menyaman individu yang memfitnahnya menerusi aplikasi X, baru-baru ini.
Ujar Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 31, hatinya sudah reda dan malas untuk memanjangkan isu yang dianggap sudah selesai.
“Kes tersebut saya anggap sudah selesai, saya sudah reda dan memilih untuk ikhlaskan dan lepaskan.
Saya tak jadi nak saman sebab dia tak teruskan perkara yang dilakukan itu,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Luluh itu, pendekatan itu diambil selepas individu berkenaan memadam semua hantaran yang tular, sekali gus dianggap tidak berbaloi untuk diperbesarkan.
“Sejujurnya, saya tak tahu siapa dia dan semua hantaran itu telah dipadam. Dia guna akaun palsu.
Tapi saya rasa macam orang terdekat sebab dia ada tangkap layar hantaran yang hanya dikongsi kepada ‘close friend’ dalam Instagram sahaja.
“Entah apa motifnya tapi saya rasa tak perlu buat begitu kerana dia tahu apa itu maksud close friend, jadi saya agak kecewa juga,” ujarnya pada majlis tayangan muzik video lagu terbaharunya Beri Sedikit Waktu di sini, semalam.
Paling penting kata Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu, sekalipun berkali-kali berdepan fitnah, dia enggan membataskan keterbukaannya dalam media sosial kerana menganggap setiap momen sebagai kenangan bersama peminat.
Malah, dia terbuka untuk menerima teguran atau pengakuan sekiranya dakwaan dilemparkan terhadap dirinya datang bersama bukti kukuh.
“Kalau benda itu ada bukti, saya terima. Tapi ini semua fitnah. Jika tak betul, saya kata tidak. Kalau ada salah silap, saya baiki dan minta maaf.
Saya ni jenis random, kalau rasa nak kongsi saya post saja. Tapi apabila ada teguran, saya akan padam. Saya bukan sempurna, hanya manusia biasa,” luahnya.
Terdahulu, Khai pernah meluahkan rasa bengang terhadap tindakan sebuah akaun dalam platform X yang memuat naik video dirinya bersama adik ipar dalam kereta disertakan kapsyen berbaur fitnah hingga mengundang kecaman.
Rentetan itu, dia menegaskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit. – HIBGLAM