Jodoh bukan lagi keutamaan, pelakon Idzham Ismail mengakui tidak mahu mencari pasangan baharu dalam hidup buat masa ini.
Idzham atau Muhammad Idzham Ismail, 37, turut menjelaskan bahawa kehidupannya sudah lengkap dengan kehadiran kedua-dua anaknya.
“Dulu saya memang nak kahwin lagi lepas cerai tapi sekarang saya sudah tidak mahu terlibat dalam sesuatu perhubungan.
“Lagi seronok hidup dengan anak-anak,” katanya dalam Threads.
Dalam ruangan komen, ramai yang memberi nasihat kepadanya agar memberikan masa mencari teman istimewa bagi menjadi peneman setia.
Namun, dia memberitahu pernah berjumpa dengan beberapa orang sebelum ini tetapi semuanya dianggap tiada makna.
“Banyak kali jumpa dan kenal orang yang membazir masa saya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, dalam hantaran lain, pelakon filem Juvana itu menafikan tidak mahu mendirikan rumah tangga sebaliknya menerima jodoh yang ditentukan Allah selepas ini.
“Threads saya bukan tak nak kahwin langsung tapi nanti-nantilah. Bukan dalam masa terdekat.
“Sebab kenal orang baharu tapi buang masa saya je rupanya.
“Kalau Allah hadirkan jodoh, insya-Allah saya terima,” jelasnya.
Tahun lalu, Idzham sah bercerai dengan Siti Nur Abilah Shamsudin selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkongsian mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nur Sofea Inara, 8, dan Muhammad Idrus, 5. – HIBGLAM