Hampir putus asa sebulan sebelum showcase

Tiga penyanyi popular, Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob mengakui hampir berputus asa sebelum menjayakan showcase An Evening To Remember.

Menurut Alyah, perasaan tersebut dirasai sebulan sebelum acara berlangsung apabila mengetahui tarikh showcase mereka sama dengan konsert penyanyi dari seberang.

“Memang hampir putus asa. Kami terfikir adakah kami tersalah waktu untuk buat showcase ini. Bila tanya kawan-kawan, semua cakap mereka nak pergi menonton konsert yang lagi satu. Itu menambahkan lagi kegusaran saya.

“Tetapi bila mengetahui bahawa pihak sana juga mempunyai masalah tersendiri, jadi kenapa kita nak kena takut?

“Tetapi alhamdulillah, semakin menghampiri tarikh showcase, tiba-tiba semakin ramai yang beli tiket. Dan hasilnya malam ini ( hari pertama showcase) tiket ‘sold out’. Malah kami perlu menambah kerusi kerana permintaan yang tinggi untuk menonton di hari pertama,” katanya ketika ditemui usai tamat persembahan yang berlangsung di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, semalam.

Sementara itu, Idayu pula hampir menitiskan air mata tatkala melihat sambutan yang diberikan para peminat pada hari pertama showcase.

“Bila lihat sambutan pada malam ini (semalam) berkaca mata saya. Tetapi saya tahan sebab saya tak mahu menangis. Penonton bangun menyanyi bersama kami. Itu yang membuatkan saya sangat terharu,” jelasnya.

Bagi Ayu Damit pula, dia sangat bangga dengan semangat dua sahabatnya yang lain kerana terus kuat demi merealisasikan impian mereka.

“Bila lihat sambutan hebat yang diberikan pada malam ini, rasa sangat terharu. Ada peminat yang datang dari Singapura. Ada juga peminat yang beli tiket dua malam berturut-turut.

“Memang rasa macam nak menangis. Tetapi kami tahan sebab takut tak boleh menyanyi pula nanti dan mengganggu persembahan, “ kongsinya.

Biarpun ada dakwaan mengatakan tiket showcase mereka tidak laku, namun kehadiran 200 penonton pada malam pertama membuktikan dakwaan itu hanyalah fitnah semata-mata.

Kata Alyah, Ayu dan Idayu, mereka hanya mampu ketawa apabila membaca tentang artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal.

“Dari awal lagi kami sudah uar-uarkan dalam media sosial tiket hari pertama telah pun habis dijual. Buktinya malam ini kita tambah lagi tiket untuk ketegori ‘Gold’. Sepatutnya hanya 150 kerusi, tetapi kita tambah sampai jadi 200.

“Tetapi ada hikmah di sebalik kejadian ini kerana selepas artikel itu keluar, makin ramai pula orang tanya nak beli tiket,” kata mereka.

Pada malam showcase itu masing-masing menyampaikan lagu popular masing-masing antaranya Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Hanya Di Mercu (Ayu) dan Ganti Diriku (Idayu).

Mereka juga turut membuat persembahan secara bertiga menerusi lagu Dawai yang didedikasikan khas buat rakyat Gaza.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok