‘Bukan mudah bertanding di China, tekanannya 10 kali ganda’

MEKAR mewangi sebagai anak seni, tidak keterlaluan andai dikatakan Shila Amzah kini sudah berada dalam kelas tersendiri.

Dia bukan sekadar penyanyi, tetapi lambang ketekunan dan keberanian yang membakar semangat anak seni lain.

Namanya bukan sekadar harum di Malaysia, malah sudah kedengaran di benua Asia.

Saban tahun, pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah itu terus mencipta fenomena di bumi Tembok Besar, hingga membina empayar peminat fanatik yang setia mendokongnya tanpa jemu.

Umpama jenama gah yang sudah dimeterai, wanita 35 tahun itu tidak pernah mempersiakan peluang keemasan yang menjelma, bermula dengan kemenangan dalam program realiti Asian Wave 2012, dia membuktikan keunggulan bakatnya.

Langkahnya makin mantap ketika menyertai program mega I Am A Singer, pertandingan realiti nombor satu di China.

Taringnya tetap tajam, pada 2024, Shila kembali menggegarkan pentas menerusi pertandingan Singing With Legends musim keenam dan berjaya meraih gelaran juara mingguan pada minggu kedua, sekali gus membuktikan karismanya tidak pernah luntur ditelan masa.

Perjalanannya ke China umpama membuka laluan buat generasi baharu menjejak tapak ke sana termasuk penyanyi muda Amsyar Lee yang kini mewakili Malaysia dalam pertandingan Sing! Asia.

Mengulas pencapaian anak seni tanah air, pelantun lagu Masih Aku Cinta itu meluahkan rasa bangga, namun dia tidak menafikan tekanan bersaing dengan bakat luar bukan kepalang.

Sejujurnya, berada di China sangat mencabar. Persaingan di sana luar biasa hebat. Kita bersaing bukan dengan satu kaum, tapi dengan masyarakat majmuk yang jauh lebih ramai daripada di sini.

“Tekanannya pula 10 kali ganda. Kita tak hanya bawa diri sendiri, tapi membawa nama Malaysia. Jadi apabila gagal beri yang terbaik, bebanan itu terasa berat di bahu,” katanya kepada HibGlam.

Namun di sebalik tekanan yang menggigit, ibu dua anak itu menyifatkan pengalaman menembusi pasaran antarabangsa sebagai peluang besar yang harus digarap sepenuhnya bakat muda tempatan.

“Daripada pengalaman seperti ini, Amsyar akan jadi lebih kuat secara mental, lebih matang dalam persembahan.

Suara semata tidak cukup. Harus ada keunikan dalam persembahan. Pemilihan lagu juga penting kerana daripada situlah dia mampu menawan hati pendengar.

“Saya harap sangat Amsyar gunakan peluang ini sebaiknya. Dan yang paling penting, bila sudah di sana, belajarlah bahasa mereka. Jangan sia-siakan masa. Dia masih muda, otaknya masih tajam. Serap sebanyak mungkin,” ujarnya.

Mengimbas kembali liku awal perjuangannya, juara The Masked Singer Malaysia musim kedua itu tidak menafikan bahawa suasana ketika itu jauh berbeza, malah lebih konservatif dan sukar ditembusi wanita berhijab.

Bukan mudah nak tembusi pasaran sana, apatah lagi berhijab. Waktu saya mula-mula dulu, China belum terbuka. Kelainan budaya antara kita dan mereka sangat besar.

“Berbeza sekarang, China sudah lebih maju dan terbuka. Artis muda seperti Amsyar sangat bertuah kerana hadir pada waktu yang tepat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, anak kepada penyanyi era 1980-an, ND lala itu sempat berkongsi momen selepas memenangi Asian Wave pada 2012 apabila kontrak yang ditawarkan menuntut perubahan penampilannya.

“Masa menang dahulu, saya ditawarkan kontrak dan mereka sangka tudung cuma fesyen. Tetapi selepas tandatangan, mereka tunjukkan imej baharu yang mereka reka dengan rambut terdedah dan gaya moden.

Saya terpaksa menolak secara baik. Saya beritahu, jika perlu buka tudung, saya tidak boleh teruskan kerjasama. Mujur mereka boleh terima prinsip saya,” tutupnya.

Dalam perkembangan lain, Shila bakal menyertai barisan juri Raise The Star Malaysia terbitan Astro Ria yang bakal bersiaran mulai 22 Jun ini, bersama juri hebat seperti Audi Mok, Ikhwan Fatanna, Ajai dan Aina Abdul. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok