‘Tak salah kalau suara sama, saya anak arwah’

KEHILANGAN ibu tercinta seawal usia sembilan tahun, satu momen duka yang akan terus membekas dalam jiwa Talita.

Mungkin pada waktu tersebut, gadis kecil ini masih belum sepenuhnya memahami makna kehilangan abadi, tetapi kini, takdir itu dilaluinya dengan berbekalkan kasih sayang pusaka arwah ibunya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

Kini, Talita atau nama penuhnya Dzahira Talita Zahra Shahmira nekad mengikut jejak langkah Siti Sarah dan bapanya, Shuib bergelar seorang selebriti.

Baru berusia 12 tahun, Talita melawan rasa gentar dalam diri yang sebelum ini menjadi tembok penghalang dirinya untuk bergelar seorang penyanyi.

MEWARISI bakat ibu dan bapanya, Talita tepis rasa malu untuk demi mengejar impian bergelar penyanyi.

Akuinya, rasa malu yang menebal dalam diri membuatkan dia kurang berkeyakinan untuk beraksi di hadapan khalayak dan pentas besar.

“Sebelum ini saya ada rasa takut dan gemuruh bila nak menyanyi depan orang.

Tapi daddy dan mummy (Watie Hanafiah) banyak bagi sokongan. Mereka tidak memaksa tetapi perlahan-lahan ajar tangani rasa takut itu.

“Saya suka menyanyi tetapi dahulu tak berani nak ke depan sebab rasa takut, tetapi sekarang, bila sudah asyik menyanyi, mummy pula suruh diam,” katanya sambil tertawa kecil kepada HibGlam baru-baru ini.

Bagi segelintir individu, Talita beruntung kerana mampu mengecapi impian yang diinginkan ramai penyanyi muda hari ini.

Dia sudah beraksi di pentas konsert berskala besar bersama komposer terkenal, Ajai dan bakal mempunyai single sendiri. Semua itu dimilikinya hanya dalam tempoh yang singkat.

Ramai mencemburui sehingga mendakwa dia berjaya disebabkan statusya sebagai anak kepada Shuib dan Siti Sarah.

TALITA cukup sedar skeptikal segelintir khalayak terhadap populariti mudah yang diraihnya kerana bersatus anak Shuib dan Siti Sarah.

Bagi Talita, semua itu rezeki, namun menegaskan tidak pernah menyalahgunakan statusnya sebagai anak selebriti untuk mengejar populariti segera.

“Awalnya saya takut dan terkejut juga dengan populariti mendadak tetapi lama-kelamaan semakin membiasakan diri.

Saya tak pernah gunakan kelebihan sebagai anak artis untuk dikenali tetapi macam mummy selalu cakap, ini semua adalah rezeki.

“Kata mummy, gunakan ruang dan peluang yang sudah ada sebaik-baiknya selain terus menjaga nama baik keluarga,” ujarnya.

Suara ibu

Ketika mula bertatih memahat nama, anak kedua daripada empat adik-beradik itu tidak terlepas daripada menjadi mangsa kecaman netizen.

Adakalanya komen yang diterima seperti tidak berhati perut apatah lagi untuknya yang baru berusia belasan tahun.

“Mula-mula rasa sedih juga bila baca komen netizen sehingga ada yang banding-bandingkan saya dengan penyanyi sebaya lain.

Ada juga saya mengadu kepada mummy dengan daddy tapi mereka kata, jangan baca komen, sebab risau beri impak kepada emosi sendiri.

“Jadi, sekarang, memang saya elak baca komen netizen, namun tetap menerima dengan terbuka segala kritikan daripada orang ramai,” jelasnya yang memasang hasrat untuk berduet dengan Nadeera dan Zaki Yamani.

Dalam masa sama, Talita juga menyedari segelintir individu yang tanpa jemu menyatakan dia terlalu berusaha keras untuk memiliki suara persis arwah ibunya.

TALITA menanam impian mahu berdiri di pentas AJL atau WCOPA di AS seperti yang pernah dilakukan arwah ibunya, Siti Sarah. – Solekan Iqbal Rafael @iqbalrafael92

Hakikatnya, tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya untuk meniru suara Siti Sarah.

“Saya menyanyi ini sebab minat, bukan sebab nak tiru ibu walaupun ada yang cakap suara kami kedengaran sama.

Kalau sama sekali pun, rasa-rasanya tidak ada salah pun sebab saya memang anak dia,” katanya yang bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.

Impian

Sama seperti orang lain, pastinya Talita mempunyai impian meletakkan diri sebaris penyanyi ternama tanah air lain.

Tidak mahu hangat-hangat tahi ayam, dia juga berharap diberi peluang untuk berjaya membolosi pentas pertandingan berprestij dalam dan luar negara.

“Pastinya saya juga nak pergi lebih jauh, tak mahu separuh jalan sahaja, daddy dan mummy sudah beri sokongan, saya tak mahu sia-siakannya.

Saya pasang impian untuk berada di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) satu hari nanti sebagai penyanyi termuda yang dapat bertanding, harap dapat jadi realiti.

“Bukan sahaja AJL, kalau boleh nak masuk World Championship of Performance Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat yang pernah ibu sertai pada 2009. Semoga dapat ulangi kejayaan sama,” tuturnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok