‘Saya bukan anak emas Ahmad Idham’

SERING muncul dalam filem arahan sutradara Dr. Ahmad Idham hingga dilabel anak emas, pelakon Nelissa Nizam menyangkal dakwaan tersebut sekali gus menegaskan semuanya soal rezeki dan keserasian bekerja.

Ujar Nelissa atau nama sebenarnya Nelissa Edreena Nizam, 27, dia tidak pernah meletakkan dirinya lebih istimewa berbanding pelakon lain, sebaliknya sentiasa memberikan yang terbaik tanpa mengira siapa pengarahnya.

“Bagi saya untuk menjawab dakwaan tersebut, istilah anak emas itu memang tidak sama sekali. Tapi kalau orang nak cakap macam itu, saya tak boleh halang.

“Sebenarnya banyak sahaja projek Ahmad Idham yang tak melibatkan saya. Saya juga berlakon banyak bawah arahan pengarah lain.

“Cuma mungkin sebab dia selesa bekerja dengan saya. Kami dah kenal lama, mungkin itu yang buatkan kami senang bekerjasama. Saya faham cara dia, dia pun tahu apa saya boleh beri,” katanya kepada HibGlam. Online.

Paling penting kata bekas anggota The Gadys itu, keakraban dalam dunia kerja bukan bermakna berlaku pilih kasih dan hubungan profesional antara mereka tidak sepatutnya disalah tafsir.

“Rasanya dia (Ahmad Idham) layan sama sahaja macam pelakon lain. Bila dah selesa kerja dan dia okey, tentulah dia akan panggil semula.

“Tak timbul isu anak emas pun. Semua ini tentang kepercayaan, rezeki dan profesionalisme,” katanya ketika sesi fotografi filem Impak Maksima 2, di sini, semalam.

Sehingga kini, Nelissa sudah membintangi empat filem arahan Ahmad Idham termasuk Saka Perawan, Reza GTR, Sahak Gangster dan terbaharu Impak Maksima 2.

Berkongsi tentang naskhah terbaharu yang bakal menemui penonton bermula 17 Julai depan, karya berkenaan memberi cabaran berbeza buat dirinya.

Filem tersebut bahkan menyaksikan anak jati Kuala Lumpur itu pertama kali melakonkan aksi lasak termasuk memandu kereta aksi sendiri, tanpa bantuan pelagak ngeri.

“Impak Maksima 1 dah ada pengikut setia. Jadi semestinya harapan tinggi diletakkan untuk sambungannya. Kami semua dah beri yang terbaik.

“Semoga penonton suka dan terima usaha kami. Kami berlatih lebih sebulan. Ada satu babak perlumbaan, saya bawa sendiri kereta laju. Jujurnya, saya takut sebab bukan biasa pandu begitu, tapi saya cabar diri.

“Bila tengok hasilnya, saya puas hati. Memang tekanan tinggi sebab peminat filem pertama ramai. Tapi saya percaya kami berjaya capai tahap setanding atau lebih baik. Tak sabar tunggu penonton tengok nanti,” katanya.

Impak Maksima 2 turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Arfie Shah – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok