‘Keluang Man tak gagal, ada drama bersiri selepas ini’

TIDAK dapat dinafikan, promosi yang diberikan untuk filem adiwira terbitan Astro Show, Keluang Man berskala mega.

Selain promosi tanpa henti menerusi saluran televisyen berbayar tersebut, watak superhero ikonik tempatan itu juga boleh dilihat menghiasi jalan-jalan utama di sekitar Lembah Klang.

Jalinan kerjasama dengan produk minuman terkemuka, Wonda pula merancakkan lagi promosi filem arahan Anwari Ashraf tersebut.

Namun entah di mana silapnya, filem yang diuar-uarkan sejak dua tahun lalu tersebut seakan-akan sepi di pawagam biarpun memulakan tayangan ketika musim cuti persekolahan pada 29 Mei lalu.

Bukanlah mahu membandingkan Keluang Man dengan filem-filem pecah panggung yang ada pada tahun ini, tetapi perbezaan itu terasa sungguh ketara.

Ulasan negatif para pencipta kandungan digital dan khalayak penonton juga rancak dibualkan dalam ruang maya.

KATA Raja Jastina, kutipan pawagam yang tidak memberangsangkan bukan penghalang untuk Keluang Man terus dihidupkan, sebaliknya permulaan untuk ‘universe’ yang lebih besar.

Jika filem-filem tempatan lain berlumba-lumba untuk mengemas kini jumlah kutipan setiap hari, lain pula dengan Keluang Man yang kekal misteri tentang jumlah kutipan sehinggalah data kutipan dikeluarkan Perbadanan Filem Nasional (Finas) pada Rabu lalu.

HibGlam berkesempatan bertemu Penerbit Eksekutif Keluang Man, Raja Jastina Raja Arshad untuk merungkai segala persoalan yang membelenggu fikiran bukan sahaja pihak media tetapi netizen yang mahukan pencerahan tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku terhadap filem yang ditunjangi Nas-T sebagai hero itu.

Memang Astro Shaw mengambil pendekatan tidak mendedahkan jumlah kutipan. Bukan kerana takut atau cuba menyembunyikan sesuatu, tetapi lebih kepada strategi agar penonton tidak terpengaruh dengan jumlah kutipan.

“Tidak dinafikan kami menerima pelbagai reaksi daripada penonton sama ada yang baik mahupun negatif. Segala komen kami ambil peduli untuk penambahbaikan pada masa hadapan.

Filem Keluang Man adalah satu projek yang bercita-cita tinggi daripada Astro Shaw. Idea menerbitkan filem ini hadir sejak lima tahun lalu. Tetapi sebagai pengeluar filem, kita tidak mampu jangka apa yang akan berlaku apabila filem ditayangkan.

“Inilah risiko yang perlu diambil oleh setiap penerbit filem. Tetapi kami menghasilkan filem ini dengan mengambil kira segala risiko. Filem Keluang Man diterbitkan kerana superhero ini adalah ikon rakyat Malaysia,” katanya.

MENURUT data Finas, Keluang Man hanya berjaya mengutip sebanyak RM2.3 juta selepas 18 hari ditayangkan (sehingga Rabu lalu).

Bukan filem gagal

Jastina juga menepis dakwaan netizen dan sesetengah pihak yang melabelkan Keluang Man sebagai sebuah filem atau projek Astro Show yang gagal kerana sambutan yang diterima tidak sehebat naskhah terbitan Astro Shaw lain seperti Sheriff dan trilogi Polis Evo.

“Keluang Man bukan filem yang gagal. Filem Keluang Man telah memperkenalkan banyak perkara baharu dalam industri.

Antaranya, ini naskhah ‘postmodern’ pertama di Malaysia. Filem yang menggabungkan keinginan peminat setia siri animasi ini dengan kehendak penonton terutama dalam kalangan Gen-Z.

“Filem Keluang Man juga merupakan filem lokal pertama yang mempunyai strategi pemasaran berskala mega. Kerjasama dengan beberapa jenama telah terjalin sejak dua tahun lalu lagi.

Sebanyak 3 juta tin kopi Wonda telah terjual dan ‘merchandise’ Keluang Man juga ‘sold out’. Ini menunjukkan orang ramai berminat dengan Keluang Man. Selain itu ‘engagement’ dalam media sosial juga paling tinggi yang pernah kami capai.

“Kami juga masih menjalankan promosi filem ini dengan turun padang ke pawagam-pawagam yang terpilih di Semenanjung Malaysia untuk bertemu peminat,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sebagai pengeluar filem tempatan tersohor, Astro Shaw tidak hanya mahu dikenali sebagai pengeluar filem yang hanya fokus terhadap satu-satu genre sahaja.

MENEPIS dakwaan segelitir pihak Keluang Man kurang sambutan disebabkan salah pemilihan pelakon, Raja Jastina menegaskan Nas-T merupakan calon paling tepat dan sesuai untuk watak adiwira ikonik tempatan itu.

“Sebelum ini kami sudah menerbitkan filem tentang kepolisan, gangster dan sebagainya. Tidak dinafikan genre sebegitu antara yang memberi kejayaan besar buat Astro Shaw.

Tetapi sebagai pengeluar filem, kami juga mahu menawarkan filem daripada pelbagai genre. Seperti Keluang Man, filem ini sangat ‘bold’ dan segar.

“Menerbitkan filem adalah satu bisnes. Apalah bisnes tanpa mengambil risiko. Penting untuk kami belajar sesuatu yang baharu dan menarik sebagai pengeluar filem,” ujarnya.

Bukan salah pelakon

Pencarian watak utama untuk filem ini juga pernah menjadi sorotan ramai satu ketika dahulu. Astro Shaw mengambil langkah berani dengan membuat sesi uji bakat terbuka untuk mencari pelakon yang sesuai memainkan watak Borhan.

Akhirnya Nas-T dipilih dan pemilihannya juga menjadi bualan ramai kerana dia bukanlah pelakon terkenal seperti hero-hero sedia ada.

Malah ada yang menyalahkan Nas-T sebagai punca filem ini kurang mendapat sambutan hebat penonton kerana tahap popularitinya belum mampu menarik penonton ke pawagam.

Namun kata Jastina, Nas-T merupakan pelakon yang paling tepat untuk membawakan watak Borhan biarpun ada beberapa pelakon Gred A yang mencuba nasib untuk melakonkan watak itu.

Kami di Astro Shaw tidak pernah mendiskriminasikan pelakon. Ramai yang mencuba nasib, tetapi Nas-T adalah Borhan. Tidak mudah untuk melakonkan watak Borhan, tetapi Nas-T berjaya melakukannya dengan baik,” jelasnya.

Terbitkan versi drama

Selepas membuat kemunculan di pawagam, Keluang Man bakal menemui penonton televisyen apabila Astro merancang untuk menerbitkan versi drama bersiri bawah label Astro Originals.

RAJA Jastina memaklumkan selepas versi filem, animasi Keluang Man juga akan diterbitkan dalam drama bersiri.

Idea penerbitan drama bersiri adalah antara ‘chapter’ seterusnya dalam Keluang Man ‘universe’.

“Anwari masih lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan siri ini dan semestinya pelakon utama Nas-T juga akan kekal sebagai Borhan.

Apa yang saya boleh katakan ini adalah ‘next chapter’ untuk Keluang Man. Kami rancang sekuel filem Keluang Man untuk tahun 2027. Tetapi bila difikirkan semula, kenapa kita tidak awalkan lagi. Maka sebab itulah kita hasilkan versi drama bersiri,” kongsinya.

Ditanya kenapa Astro tidak mengambil pendekatan untuk mengeluarkan versi drama bersiri terlebih dahulu sebelum mengangkat naskah ini ke layar lebar, kata Jastina idea asal untuk Keluang Man adalah versi filem.

“Dari awal kami memang rancang untuk mengadaptasi versi animasi Keluang Man kepada bentuk filem.

Melalui filem kami boleh sampaikan dalam medium yang lebih pendek tentang apa itu sebenarnya Keluang Man.

“Seperti yang saya katakan, filem Keluang Man adalah permulaan,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok