‘Tiada tarik balik kes, laporan media semalam tepat’

PEGUAM syarie mewakili Siti Khalizah Alihan iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib menolak dakwaan anak guamnya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam adalah mahu menarik balik permohonan cerai yang difailkan sebelum ini seperti dinyatakan suaminya yang juga pelakon, Fikry Ibrahim dalam program Melodi, semalam.

Menurut Wan Muhammad Afiq, tarikh tangguhan tidak akan ditetapkan oleh pihak mahkamah semalam sekiranya anak guamnya mahu menarik semula kes.

Memang pihak mahkamah memberikan tempoh yang panjang untuk berdamai. Sebenarnya kalau kes ditarik balik semalam, mahkamah pun tidak akan memberikan tarikh tangguhan.

“Kami mohon tarikh selanjutnya adalah untuk menunggu pendirian atau jawapan daripada Fikry. Kalau dia kata kami tarik balik, kes ini sudah selesai semalam.

Tiada tarik balik dibuat semalam. Jadi, apa yang pihak media laporkan semalam adalah tepat, saya pun takkan nak memaklumkan perkara yang bercanggah,” katanya.

Tambahnya, surat saman perceraian telah diserahkan sebelum ini kepada Fikry tetapi dia tidak muncul di mahkamah semalam.

“Sama ada Fikry hantar atau tidak anak guam kami ke mahkamah, itu di luar bidang kuasa kami cuma yang pasti semalam dia tak muncul di mahkamah.

Tapi dia tidak hadir semalam dan tak bolehlah beri jawapan balas. Kalu mahu berdamai, ada terma-terma yang perlu diikuti, sebab itulah kita perlukan pendirian dan jawapan dia.

“Kalau dia datang semalam, kita boleh bincang dan dapat jawapan,” katanya lagi.

Semalam, Wan Muhammad Afiq selepas selesai sebutan pertama tuntutan dan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian disebabkab tiada persefahaman antaranya dengan suami.

Katanya, prosiding akan bersambung pada 10 September depan untuk memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk proses perdamaian.

Bagaimanapun, Fikry yang ditemui media semalam pula mengeluarkan kenyataan bercanggah selain mendakwa Siti Khalizah hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan adalah ingin menarik balik permohonan cerai yang difailkan pada Mei lalu.

Fikry seterusnya akan mempertahankan rumah tangga bersama Siti Khalizah yang dinikahi pada 12 Februari lalu di Jitra, Kedah selain menegaskan mereka saling sayang-menyayangi. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok