‘Tak perlu sugar daddy, saya ada duit sendiri’

PELAKON Siti Hariesa menegaskan dia tidak perlu menjadi ‘sugar baby’ atau perempuan simpanan semata-mata untuk hidup mewah.

Menurut Hariesa atau nama lengkapnya Siti Hariesa Muhammad Hanafi, 27, dia mempunyai duit sendiri hasil kerja kerasnya sebagai pelakon.

I have my own money. I don’t need a sugar daddy. Orang luar mungkin boleh bercakap macam-macam tentang anda dan menuduh sesuka hati.

“Tetapi saya tahu siapa diri saya. Saya takkan terlibat dengan perkara seperti itu,” katanya ketika ditemui di sesi bersama media Viu Malaysia drama Lambaian Huda, semalam.

Berwajah jelita dan disinari limpahan dunia glamor, Hariesa akui dia ada menerima banyak mesej daripada lelaki gatal dalam media sosial.

Tipulah kalau tak ada. Tetapi saya akan buat tak endah ataupun saya sekat sahaja akaun mereka,” kongsinya.

Bercerita mengenai drama Lambaian Huda yang bakal melabuhkan tirai pada minggu hadapan, Hariesa meluahkan rasa syukur apabila drama itu mendapat perhatian ramai.

“Dalam drama ini saya membawakan watak sebagai perempuan yang bekerja di kelab dan menjadi sugar baby. Tetapi dalam masa yang sama dia mahu mendalami ilmu agama selepas mengenali jirannya yang merupakan seorang ustaz lakonan Hisyam Hamid.

Sejujurnya saya kurang selesa untuk berlakon watak sebegini terutamanya babak kena layan lelaki. Tetapi saya ambil ini sebagai satu cabaran untuk saya.

“Saya harap penonton tidak skeptikal terhadap saya. Apa yang saya buat dalam drama hanyalah lakonan. Di luar saya bukan macam tu,” jelasnya.

Terdahulu baru-baru ini topik mengenai ‘sugar baby’ hangat dibincangkan netizen susulan ada yang mendakwa terdapat beberapa pempengaruh terkenal dan selebriti yang menjadi ‘sugar baby’ kepada lelaki kaya untuk hidup mewah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok