‘Saya degil dan gila, selalu gaduh dengan produser’

NAMA Liyana Jasmay dalam dunia hiburan tidak asing lagi memandangkan pembabitannya dalam bidang seni bermula sejak 1997 ketika masih kanak-kanak.

Lebih dua dekad menimba pengalaman dalam lakonan, Liyana akhirnya nekad untuk terjun ke bidang pengarahan.

Namun, apa yang mencuri tumpuan adalah Liyana atau lebih mesra disapa Nana itu sering mengetengahkan naskhah bertunjangkan kisah remaja.

Wanita berusia 37 tahun itu mengakui idea menghasilkan karya melibatkan remaja adalah selepas mengambil inspirasi daripada syarikat produksi Red Communications yang popular suatu ketika dahulu.

“Saya tidak mahu lari daripada cerita remaja. Kenapa nak lari? Tak banyak pembikin yang mahir dalam menghasilkan naskhah remaja.

Dahulu ada syarikat Red Communications tetapi Bernard Chauly pun dah buat sekarang.

“Saya harap dapat menjadi penyambung legasi sebab dah membesar dengan karya-karya Red Communications,” katanya kepada HibGlam.

Teguh dengan pendirian, bintang filem Papadom itu kekal dengan karya berkisarkan remaja yang sememangnya dekat dengan jiwanya.

“Bagilah genre apa sekali pun tetapi saya nak fokus lebih kepada kisah remaja.

Macam syarikat saya, kami buat benda yang kami suka. Setiap cerita saya buat, saya akan upah penulis skrip bila idea datang.

“Kenapa pilih begitu? Sebab identiti kami. Tidak kisah setahun dapat satu atau dua kerja tetapi cita rasa kami tak sama dengan naskhah televisyen lain.

Cerita saya tak seperti apa orang lain inginkan. Saya tak putus asa dengan identiti, walaupun lambat tetapi masanya akan sampai,” ujarnya.

Liyana juga mengakui, dia pengarah yang degil kerana mahukan hasil terbaik dalam setiap karyanya.

“Saya seorang pengarah yang degil sebab itu produser pun kakak saya. Saya akan gaduh dengan dia.

Saya cuma mahu buat yang terbaik dan berikan output gambar terbaik. Itu sebab saya degil dan gila.

“Semoga syarikat saya sentiasa dapat buat karya saya suka, dapat beri rezeki kepada pelakon muda, naikkan orang lain dan bantu lebih ramai yang ada perasaan sama macam saya,” tuturnya.

Putri & Phrince

Berkongsi perkembangan terkini, ibu kepada dua cahaya mata itu kini mengarahkan sebuah drama Viu berjudul Putri & Phrince terbitan Mermaid Studios.

Pada awalnya dia agak gementar untuk mengambil pempengaruh berlakon dalam drama arahannya.

FOKUS menghasilkan karya remaja, Liyana kini rancak mengarahkan naskah berjudul … untuk Viu.

Namun, jangkaannya meleset apabila pempengaruh, Badron Munirah dan Fatihin Arnia sebenarnya sangat profesional  di set penggambaran.

“Mula-mula saya cuak juga, tertanya-tanya budak-budak TikTok ini boleh ke berlakon. Mereka kelakar gila dalam TikTok.

Rupa-rupanya, mereka datang set penggambaran dengan persediaan diri yang baik. Mereka tahu karakter masing-masing.

“Saya suka budak yang suka bertanya sebab nampak minat mereka yang lebih tinggi. Mereka nak berlakon, bukan hanya menjadi pencipta kandungan TikTok.

Mereka nak cari haluan baru. Saya suka dan tiada masalah nak bekerja dengan budak baru terutama sekali remaja,” tutupnya.

Putri & Phrince yang dibintangi Nesa Idrus, Badron Munirah, Nik Rifaie, Farah Nadiah, Khayrisyah Kemal, Adriana Adnan dan Farihin Arnia bakal ditayangkan menerusi Viu pada 21 Ogos depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok