Lagu disko Bee Gees bakal ledakkan Zepp KL

SIAPA sangka demam irama disko yang pernah melanda dunia sekitar era 1970-an bakal kembali menggegar ibu kota ini melalui konsert istimewa Saturday Night – Celebrating Bee Gees yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai dan 1 Ogos 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert anjuran Milestone Production tersebut bukan sekadar persembahan biasa tetapi akan membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan muzik disko dengan aura dan bunyi asli yang pernah menjadikan Bee Gees sebagai legenda muzik dunia.

Konsert tersebut akan menampilkan kumpulan tribut terkenal dari United Kingdom (UK), Saturday Night Bee Gees yang terdiri daripada enam pemuzik hebat.

Kumpulan berkenaan telah mendapat pengiktirafan meluas di seluruh dunia kerana persembahan mereka yang berjaya menghidupkan semula tenaga serta keaslian adik-beradik Gibb dengan ketepatan yang memukau.

JARANG berlaku, tetapi persembahan dua malam Saturday Night Bee Gees ini pasti menjadi kenangan hebat buat peminat Bee Gees.

Penonton boleh bersiap sedia untuk mendengar semula lagu-lagu ikonik yang pernah menguasai carta muzik dunia seperti Stayin’ Alive, Night Fever, How Deep Is Your Love dan You Win Again.

Bagi mereka yang pernah melalui era muzik pop tersebut, konsert nanti pasti akan membangkitkan kenangan manis zaman seluar ‘bell bottom’, kemeja berbunga dan lampu disko yang berputar.

Namun bagi generasi muda, ini adalah peluang emas untuk memahami mengapa Bee Gees masih dianggap sebagai salah satu kumpulan paling berpengaruh dalam sejarah dunia muzik popular.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan konsert yang pasti akan menjadi bualan ramai ini, tiket boleh didapati melalui laman web milestoneentertainment.com dengan harga bermula RM198 hingga RM638.

Dengan tempat duduk yang terhad dan jangkaan sambutan yang memberangsangkan, penganjur nasihatkan peminat supaya membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Bee Gees

Kumpulan Bee Gees yang ditubuhkan pada 1958 oleh tiga beradik Barry, Robin dan Maurice Gibb, mula dikenali menerusi lagu-lagu balada seperti To Love Somebody dan Massachusetts.

Namun ledakan sebenar berlaku pada era 1970-an apabila mereka menukar haluan kepada muzik disko. Lagu-lagu seperti Stayin’ Alive dan How Deep Is Your Love yang bukan sahaja menjadi hit global malah dimuatkan dalam soundtrack filem Saturday Night Fever (1977) lakonan John Travolta.

Filem tersebut bukan sahaja melambungkan nama Bee Gees ke tahap superstar, malah turut mempopularkan budaya disko di seluruh dunia. Sehingga kini, lagu-lagu mereka masih kerap dimainkan di radio dan menjadi pilihan DJ untuk menghidupkan suasana pesta.

Dengan hanya dua malam persembahan, konsert Saturday Night – Celebrating Bee Gees bakal menjadi salah satu konsert muzik yang paling dinanti-nantikan tahun ini.

Konsert ini bukan sekadar persembahan nyanyian tetapi satu pengalaman budaya yang akan membawa penonton dalam perjalanan masa ke era yang mungkin tidak akan berulang lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok