SELEPAS mencetuskan fenomena luar biasa selama dua tahun berturut-turut, penyanyi Indonesia Feby Putri bakal kembali menemui peminat di sini pada konsert Feby Putri Vol 3, Hitam Putih Live in Kuala Lumpur pada 19 Julai depan.
Feby atau nama penuhnya Feby Putri Nilam Cahyani, 25, akan menakluk Zepp Kuala Lumpur (KL) buat kali ketiga dengan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hit dari dua albumnya iaitu Riuh dan Hitam Putih.
Konsert ini merupakan ruang Feby membuai emosi peminat dengan seleksi lagu dari album Hitam Putih yang dilancarkan pada September tahun lalu.
Hitam Putih iaitu album terbaharunya itu sarat dengan penceritaan bermakna dan buat Feby terutama ketika dia mula merantau, menyoroti berbagai fasa kehidupan yang dialami termasuk momen manis mahu pun pahit.
Album tersebut juga membawa pendengar bersama meneroka warna-warni kehidupan Feby yang disajikan melalui lirik yang jujur dan susunan muzik istimewa.
Kali terakhir penyanyi kelahiran Sulawesi Selatan itu mengadakan konsert solo di Malaysia adalah pada 27 Julai 2024 di Zepp KL.
Konsert anjuran Miebird Projects itu menawarkan tiket serendah RM 159 sehingga RM359 mengikut lima kategori berbeza.
Tiket konsert tersebut boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com/febyvol3. – HIBGLAM