PELAKON Fizo Omar memaklumakan isterinya, Fazeera Nazri Azrai selamat melahirkan cahaya mata lelaki di sebuah pusat perubatan swasta, semalam.
Menurut Fizo atau nama lengkapnya Wan Hafizol Wan Omar, 40, isterinya melahirkan bayi seberat 3.52 kilogram (kg) secara normal.
“It’s a boy (dia lelaki), alhamdulillah. Terima kasih di atas doa semua.
Semalam pada pukul 5.19 petang, 17 Jun 2025, isteri saya selamat bersalin secara normal.
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan proses kelahiran bayi lelaki seberat 3.52 kg,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pada masa sama, pelakon drama Soffiya itu berkongsi perasaan teruja dapat merasai pengalaman berharga menyambut anak lelakinya.
Satu momen yang sangat berharga buat saya sebagai ayah apabila sekali lagi diberi peluang untuk menyambut kelahiran dengan menarik sendiri bayi keluar dari rahim ibunya.
“Masya-Allah satu perasaan yang amat sukar untuk saya gambarkan.
“Perasaan teruja, sedih, hiba dan bangga semuanya bercampur baur saat melihat zuriat kita sendiri dilahirkan,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Fizo turut memanjatkan rasa syukur menerima rezeki tidak disangka daripada Allah selain bertuah memiliki isteri yang mampu menguruskan anak semasa sarat mengandung sambil menyambung pelajaran.
“Alhamdulillah syukur rezeki daripada Allah, tiga perempuan dan seorang lelaki datangnya bersama rezeki setiap anak yang dilahirkan dan juga rezeki kebahagiaan yang melimpah ruah, amin.
Kredit kepada wanita hebat, isteri tercinta yang banyak berkorban menjaga anak-anak dalam keadaan sarat mengandung dan dalam masa sama menyambung pelajaran lagi di peringkat ijazah sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Semoga doa berterusan daripada semua memberi keberkatan dalam rumah tangga kami dan dikurniakan anak yang soleh serta solehah,” jelasnya.
Sebelum ini, Fizo dan Fazeera mendirikan rumah tangga pada Oktober 2021 dan memiliki dua orang cahaya mata perempuan iaitu Wan Khaleeda, 3, dan Wan Umaira, 2 tahun.
Fizo juga memiliki seorang anak perempuan iaitu Wan Mariam, 8, hasil perkahwinan terdahulu bersama ahli perniagaan, Mawar Karim. – HIBGLAM