BAKAL mengadakan konsert sulung, penyanyi Hael Husaini akan mendedahkan beberapa artis terkenal lagi yang turut serta dalam konsert Hael Husaini & Repertoire pada 8 Ogos kelak.
Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 38,dia terbuka berkongsi pentas dengan artis lain lebih-lebih lagi penghibur yang menyanyikan karya hasil ciptaannya.
Kalau ikutkan nama konsert Hael Husaini & Repertoire, jadi semua lagu-lagu saya dan yang saya cipta akan libatkan ramai artis yang sudah didedahkan serta ada juga belum.
“Akan ada beberapa lagi artis jemputan yang bakal didedahkan. Ini konsert sulung jadi nak pastikan rancangan tersebut berjalan sebaik mungkin bersama pihak pengurusan.
Bagi saya, tak pernah ada masalah nak kongsi pentas sebab itu diberikan nama konsert Hael Husaini & Repertoire.
“Di mana seorang Hael Husaini bukan sahaja bergerak sebagai penyanyi tetapi produser dan komposer. Malam itu, saya akan kongsikan perjalanan hidup saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Selain penyanyi yang bakal didedahkan kelak, konsert Hael Husaini & Repertoire turut menampilkan Dayang Nurfaizah, Wany Hasrita, Nadeera dan Nabila Razali.
Berkongsi lanjut, penyanyi yang popular dengan lagu Jampi itu bersyukur apabila tiket konsert hampir habis dijual sejak dibuka pada 3 Jun lalu.
“Tiket sebenarnya sudah mula dijual beberapa minggu lepas. Alhamdulillah, sambutan diluar jangkaan. Hampir 90 peratus terjual.
“Sebelum ini pernah nak buat konsert tapi tak jadi, kali ini ibarat tebus semula hasrat mereka yang lama menunggu.
Ini adalah janji saya kepada mereka. Semoga malam itu merasai sesuatu yang sangat tidak boleh dilupakan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hael berharap konsert sulungnya nanti dapat dijayakan dengan sempurna selepas terpaksa reda dengan pembatalan konsert pada Februari tahun lalu.
Kena pastikan konsert kali ini tetap diteruskan. Apa yang jadi dulu, saya dah ‘move on’. Itu pengurusan lama, untuk pengurusan baharu insya-Allah akan cuba beri yang terbaik,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, konsert Hael Husaini Live In KL sepatutnya berlangsung di Zepp, KL pada 4 Disember 2022 namun ditunda ke Tarikh baharu iaitu 19 Februari 2023.
Namun atas faktor kesihatan, pihak pengurusannya Rocketfuel Entertainment membatalkan Konsert Hael Husaini Live in KL. – HIBGLAM