‘Tiada kasta, artis, kru boleh duduk lepak sekali’

SELEPAS hampir dua dekad beraksi depan kamera, Zahiril Adzim kini memegang portfolio baharu iaitu sutradara filem.

Kata Zahiril, selama 19 tahun mengabdikan diri dalam dunia lakonan, pelbagai cerita, ragam dan pengalaman dihimpun sehingga terhasilnya filem sulung arahannya, Martabat: Misi Berdarah.

Menurutnya, filem yang menjalani penggambaran selama 25 hari itu diinspirasikan daripada cerita belakang tabir termasuk cabaran sebagai kru produksi, kesungguhan pelakon ekstra dan suasana di set penggambaran.

Menurut Zahiril atau nama lengkapnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, karya itu memaparkan realiti sebenar di sebalik tabir dunia lakonan yang sememangnya jarang dilihat masyarakat umum.

SELEPAS 19 tahun menggali ilmu dalam dunia lakonan, Zahiril kini bergelar sutradara menerusi buah tangan sulungnya, Martabat: Misi Berdarah.

Menurutnya, Martabat: Misi Berdarah merupakan hasil empat filem lain iaitu Ada Hantu 1, Ada Hantu 2, Malbatt Misi Bakara dan The Assistant termasuk gabungan pelakonnya.

“Ibarat saya himpunkan semua pengalaman selama 19 tahun dalam industri seni dalam filem ini.

Semua yang dipaparkan itu adalah realiti di set penggambaran sejak hari pertama jadi pelakon.

“Kerisauan utama saya, sama ada penonton akan faham jenaka dalam industri tetapi kami cuba ‘ringankan’ cara penyampaian,” katanya.

Tambah pelakon drama Andai Tiada Dia itu, Martabat: Misi Berdarah bukan sekadar kisah pelakon, tetapi juga menghargai jasa dan pengorbanan kru belakang tabir yang disifatkan sebagai hero tak didendang.

“Selalunya kru di belakang tabir tidak meluahkan apa yang mereka rasa dan hanya buat kerja sahaja.

Satu hal yang bagus di Malaysia, tiada kasta, artis dan kru boleh duduk lepak dan bersembang sekali.

“Di situlah semua cerita dikongsi, apa yang kurang puas hati semua diluah. Itulah yang menjadi inspirasi untuk hasilkan naskhah ini,” tuturnya.

Jika diteliti jalan cerita terutama dialog yang dilontarkan barisan pelakon, Zahiril dan pengarah bersama, Adrian Teh menyelitkan humor berbaur sindiran berani seperti pelakon tambahan tidak mendapat layanan seperti bintang utama dan emosi pengarah yang ‘huru-hara’.

Dia tidak gentar sekiranya dituduh menyindir segelintir penggiat seni tanah air.

“Saya tak takut filem ini diktirik atau dianggap memerli pelakon lain, itu sebenarnya yang saya mahukan. Maksudnya mesej itu sampai.

Saya bukan nak menyindir atau buat orang lain terasa. Kalau ‘kena’ batang hidung sendiri, maksudnya mereka pernah melalui pengalaman sama,” katanya lagi.

MARTABAT: Misi Berdarah mula ditayangkan 12 Jun lalu membariskan ramai pelakon hebat seperti Fad Bocey, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Elvina Chua, Iedil Dzuhrie, Emma Maembong, Dafi, Tony Eusoff dan Michael Ang.

Ditanya pemilihan genre komedi, dia mengakui cuba lari daripada tipikal genre yang sering dilakonkan sebelum ini.

“Kalau berlakon, saya suka genre yang berat, lebih berseni tetapi bila duduk di kerusi pengarah, saya nak cuba lari.

Pengarah lain pun, ramai ambil masa bertahun-tahun cuba pelbagai genre filem sehinggalah jumpa yang betul-betul okey.

“Perjalanan saya masih jauh apatah lagi untuk menjadi seperti Syafiq Yusof, Syamsul Yusof dan Dain Said tetapi langkah ini perlu dimulakan. Alhamdulillah, saya sudah bergelar pengarah,” ujarnya.

Ditanya keputusan berlakon dalam naskhah arahan sendiri, Zahiril mengakui pada awalnya enggan terlibat tetapi akur dengan permintaan Adrian yang mahu dia berada dalam layar.

Pada masa sama dia berterima kasih kepada Adrian kerana banyak berkongsi ilmu terutama berkaitan teknikal dalam pembikinan filem.

Martabat: Misi Berdarah merupakan filem komedi menceritakan perjalanan sekumpulan pelakon tambahan dalam mengejar impian berada sebaris dengan bintang filem ternama tanah air. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok