SUDAH lama sebenarnya tidak bergema perihal si penyanyi rap bernama Bunga Isme, gadis berhijab yang pernah mencetuskan kegemparan dalam arena muzik tanah air menerusi lagu Intan Payung bersama Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.
Si cantik itu bukan hanya tampil dengan gaya fesyen unik dan lirik sinikal yang mengundang senyum, malah berani menentang arus dengan mengetengahkan genre hip hop Melayu yang dipalit elemen tradisional.
Namun sejak kebelakangan ini, kelibatnya dalam arena seni tanah air seakan-akan perlahan, ada lagu baharu namun seperti tidak begitu mendapat sambutan.
Bertemu empat mata dengan pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari itu, penulis sempat bertanya atas alasan apa momentumnya seperti terlalu perlahan sejak mendirikan rumah tangga.
Tersenyum diajukan soalan, Bunga menegaskan dia bukan tenggelam sebaliknya sedang menyusun langkah.
Kongsinya, dia sedang sibuk mempersiapkan album terbaharunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Namun apa yang lebih menarik kata wanita berusia 25 tahun itu ialah sebuah lagu dalam album tersebut berjudul Tak Tidur Malam.
Bunga mengakui lagu tersebut sepatutnya menjadi duet impiannya bersama penyanyi Mimi Fly.
Pun begitu, hasrat berkenaan tidak diteruskan selepas melihat Mimi Fly tampil terlebih dahulu dengan single Angkat Kaki yang menjadi siulan ramai.
“Sepatutnya lagu Tak Tidur Malam adalah kolaborasi bersama Mimi Fly. Tapi, bila tengok dia keluarkan lagu Angkat Kaki, namanya terus meletup, saya jadi segan.
Saya ada niat nak beritahu dia, tapi bila mahu beritahu, dia sudah keluarkan lagu Angkat Kaki. Malah, ada kenalan kata Mimi Fly tengah fokus keluarkan single baharunya, jadi saya tak mahu mengganggunya.
“Jadi, tak mengapa, saya simpan lagu ini untuk diri sendiri. Mimi Fly tak tahu hasrat saya ini. Lagu ini bertemakan dangdut, jadi saya terfikirkan dia sebab saya suka dengar dia bawakan lagu dangdut,” katanya kepada HibGlam.

BUNGA bakal beraksi dalam Konsert Hype Republic yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 13 Disember depan.
Pemegang Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban 3 itu menjelaskan, lagu berkenaan sebenarnya sudah dua tahun disiapkan, cuma idea untuk mengolah keseluruhan produksi datang secara berperingkat.
“Sebenarnya lagu itu saya hasilkan dua tahun lalu, cuma baru ada idea nak buat macam mana, tahun ini. Ada elemen tradisional dan saya cuba masukkan elemen seram.
Saya sedar saya masih artis baharu yang mencari tapak dalam industri ini. Saya sangat gembira dan menyokong Mimi Fly sepenuhnya sebab sudah lama mengikuti perkembangannya.
“Saya selalu jumpa Mimi Fly, tetapi kami tak pernah berkolaborasi. Saya tak mahu ganggu dia sebab faham, bila hasilkan lagu perlukan masa,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Nak buat Cane itu turut diumumkan sebagai antara penyanyi yang akan membuat persembahan dalam Konsert Hype Republic yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 13 Disember depan.
Menerusi konsert tersebut, Bunga mendedahkan bakal tampil dengan lagu-lagu baharu daripada album sulungnya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya diberi 30 minit sahaja dan saya akan gunakan sebaiknya. Dalam tempoh itu saya akan nyanyikan lagu-lagu daripada album terbaharu. Tapi saya akan perform juga lagu lama yang buat orang kenal saya seperti Intan Payung.
Bila sudah ada album, senang sikit pilih lagu dan pastinya saya akan buat kelainan. Mungkin akan ada penari dan gimik pada konsert tersebut.
“Sangat teruja sebab ini pentas pertama terbesar saya selain kemunculan masa konsert Coldplay tempoh hari, itu pun jemputan sahaja,” tutupnya.
Konsert Hype Republic anjuran DM Diamond Sdn. Bhd. dan turut menampilkan barisan artis popular seperti Kmy Kmo, Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Zynakal, Zubir Khan, K.O.I serta penyanyi misteri yang belum didedahkan. – HIBGLAM