PENYANYI legenda, Datuk Aishah tidak berdiam diri apabila aksinya menari dalam TikTok dikritik netizen yang menyifatkan perlakuan itu tidak sesuai dengan usianya.
Menerusi video tersebut, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 60, dilihat menari sambil mengikut rentak lagu Call Me, karya ikonik yang pernah melonjakkan namanya bersama kumpulan Fan Club suatu ketika dahulu.
Namun, video tersebut mencetuskan rasa kurang senang segelintir pihak yang menganggap perlakuan itu tidak kena pada tempatnya dan agak keterlaluan untuk terkinja-kinja pada usia 60-an.
“Tu la, usia dah tua tak sesuai la,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Sudah sudah lah tu, umur pun bukan muda lagi, nak kejar apa lagi dekat dunia ni,” komen seorang netizen.
Kesal dengan komen tersebut, pelantun lagu Janji Manismu itu membalas dengan penuh tertib namun sinis dengan mengatakan seni dan ekspresi diri tidak wajar dihadkan angka usia.
“Mengata orang pada usia apa pun tak sesuai. Ini kerja saya.
“Kalau tak suka, sila teruskan skrol. Biar saya buat kerja saya,” tegasnya.
Tindakan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) itu disambut dengan sokongan padu peminat yang memuji keberaniannya serta ketegasan mempertahankan prinsip dalam dunia hiburan.
“Pedulikan apa orang nak kata, yang penting kita tahu batas dan landasan. Teruskan, Datuk!,” komen seorang peminat.
“Umur bukan penghalang untuk bahagia dan berkarya. Kami sentiasa sokong Datuk Aishah,” tulis netizen.
Aishah sememangnya dikenali sebagai figura lantang bersuara, terutama dalam menyuarakan isu seni, hak wanita dan prinsip hidup.
Kelantangannya dalam media sosial mencerminkan pendiriannya yang tidak pernah teragak-agak untuk bersuara jika ada perkara tidak kena di matanya. – HIBGLAM