’Bayar ikat jamin RM12,000, pasport Naim diserahkan kepada mahkamah’

MESKI dihambat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja bawah umur, pelakon dan penyanyi Naim Daniel memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik.

Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengakui terharu dengan sokongan peminat sehingga hari ini selain fokusnya ketika ini adalah kesejahteraan diri sendiri.

“Alhamdulillah saya sihat, terima kasih sebab bertanya.

Fokus saya sekarang adalah pada ‘well being’ (kesejahteraan diri sendiri),” katanya kepada HibGlam di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kini berehat dari media sosial, Naim sekali lagi menjelaskan hanya mahu memastikan dirinya dalam keadaan baik.

Dia bahkan bersyukur keluarganya juga memberi sokongan dan doa yang berterusan.

Keluarga alhamdulillah semua okey, tiada masalah.

“Semuanya pun beri doa yang baik,” jelasnya.

Sementara itu salah seorang peguam mewakilinya, Datuk Amirul Ridzuan Hanif berkata, Naim hari ini selesai membayar wang ikat jamin selepas dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

“Hari ini, Naim membayar wang ikat jamin RM12,000 yang telah ditetapkan oleh mahkamah dan passport antarabangsa miliknya juga sudah diserahkan kepada pihak mahkamah.

“Kemudian, sebutan untuk kes ini pula akan berlangsung pada 18 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Putrajaya,” ujarnya.

Hari ini, Naim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, Naim didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi tujuan seksual.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin manakala Naim Daniel diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul.

Terdahulu, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok