TANGISAN gembira, penyanyi Ariel Fesol tidak dapat menahan sebak apabila diumumkan sebagai juara program Big Stage Alpha hari ini selepas 16 tahun mencuba nasib dalam bidang seni suara.
Berlansung di Royal Theatre, Shah Alam malam tadi, detik manis itu sekali gus membolehkan penyanyi berusia 27 tahun berkenaan membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi kemenangan.
“Saya tunggu momen ini selama 16 tahun. Macam-macam pertandingan saya sertai, tapi tak pernah jadi. Malam ini, saya akhirnya berjaya.
“Terima kasih kepada semua yang percaya dan terus sokong saya,” katanya sejurus diumumkan sebagai juara.
Kemenangan Ariel juga membuka laluan untuknya debut bersama enam lagi peserta sebagai anggota kumpulan baharu dinamakan Alpha.
Naib juara menjadi milik Ray-D yang membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi sumbangan Astro, manakala tempat ketiga disandang Rizal Rasid dengan hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Tempat keempat hingga ketujuh masing-masing diraih oleh Daniel Sher, Araff, Izat Ibrahim dan Afiq Sky, yang menerima wang tunai RM5,000 serta trofi.
Lebih bermakna, Daniel turut memenangi Anugerah Ikon Perfume Paradise Grand Finale sebagai pengiktirafan persembahan paling menonjol malam tersebut.
Dalam konsert akhir, Ariel memukau penonton dengan lagu I Don’t Wanna Miss A Thing nyanyian asal Aerosmith.
Sementara itu, persembahan berkumpulan turut dibahagikan kepada dua pasukan iaitu Alpha Prime dan Alpha Ultra.
Alpha Prime dianggotai Ariel, Araff, Rizal dan Daniel tampil bertenaga dengan lagu Hands Up (2PM), manakala Alpha Ultra terdiri daripada Izat, Ray-D dan Afiq Sky membawakan Run nyanyian BTS.
Ketujuh-tujuh peserta diumumkan debut sebagai kumpulan rasmi malam tadi dan membuat persembahan sulung menerusi lagu Monalisa.
Mereka juga bakal tampil sebagai tetamu istimewa dalam konsert Hael Husaini & Repertoire, sekali gus membuka lembaran baharu dalam karier seni masing-masing.
Program Big Stage Alpha dikendalikan Elly Mazlein bersama pengacara undangan dari Indonesia, Rina Nose.
Malam finale malam tadi turut dimeriahkan dengan kehadiran juri jemputan, Marsha Milan.
Selain Syafinaz Selamat, barisan juri tetap menampilkan Hael Husaini dan Edry Abdul Halim yang menjadi tunjang pemarkahan sepanjang tujuh minggu siaran.
Sebagai info, Big Stage Alpha merupakan edisi khas pertama Big Stage menampilkan format kesemua peserta lelaki dalam pencarian kumpulan lelaki pertama di bawah naungan Astro. – HIBGLAM