‘Tinggalkan kerjaya pramuga, nak buat apa saya suka’

IMPIAN menjadi penghibur sejak kecil, juara Big Stage Alpha, Ariel Fesol nekad meninggalkan kerjaya di awan biru meskipun sudah berkhidmat selama enam tahun dalam industri penerbangan.

Biarpun kerjaya pramugara stabil dan menjanjikan pendapatan tetap, Ariel atau nama sebenarnya Muhammad Fhazrill Fesol, 27, akur dengan suara hati demi mengejar cita-cita menjadi penyanyi profesional sepenuh masa.

“Sebelum ini saya sudah cuba macam-macam pertandingan tetapi tidak menjadi. Saya pernah putus asa dan nekad tinggalkan industri seni. Saya tak nak kejar lagi impian ini

“Tapi kali ini rezeki berpihak kepada saya dan menjadi juara Big Stage Alpha. Saya rasa ini permulaan dan disebabkan itu saya dah buat keputusan untuk tinggalkan kerjaya sebagai pramugara.

“Saya nak kejar impian dan capai lebih banyak kejayaan dalam bidang muzik. Bukan tak bersyukur, tapi saya nak hidup buat benda yang saya suka. Saya mahu fokus menyanyi,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya tentang wang kemenangan sebanyak RM30,000 yang diterimanya, Ariel mengakui belum ada sebarang perancangan namun menyimpan satu niat besar.

“Sejujurnya saya pun masih terkejut dengan kemenangan ini. Duit itu pun saya tak terfikir lagi nak buat apa lagi.

Tapi saya ada impian untuk ke Tanah Suci. Saya dah pergi banyak negara sepanjang jadi pramugara tapi belum berkesempatan jejakkan kaki ke Mekah.

“Kalau ada rezeki, insya-Allah saya mahu tunaikan umrah,” jelasnya usai konsert akhir Big Stage Alpha, di sini, semalam.

Menjawab pertanyaan sama ada dirinya sesuai menjadi ketua dalam kumpulan Alpha, anak jati Kuala Lumpur itu bersedia menjadi sumber kekuatan buat rakan-rakan sepasukan.

“Kami tak letak sesiapa sebagai ketua tapi akan ada seorang untuk ke hadapan. Bagi saya, tugas saya lebih kepada jadi pemberi semangat.

Kalau ada yang rasa jatuh, mereka akan cari saya. Sejak dulu saya pegang satu prinsip iaitu layan semua orang dengan baik. Saya nak terus sebar kebaikan,” luahnya.

Dalam acara kemuncak tersebut, Ariel diumumkan sebagai juara Big Stage Alpha selepas mengetepikan enam finalis lain, sekali gus melayakkan dirinya menyertai kumpulan lelaki baharu bernama Alpha.

Kumpulan Alpha itu juga melancarkan single sulung berjudul Mona Lisa dan bakal menjalani latihan intensif di Korea Selatan dalam masa terdekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok