‘Saya hadir sebagai saksi kes saman, moga jadi iktibar’

ENGGAN beri muka, syarikat rakaman dan pengurusan bakat Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd memfailkan saman terhadap bekas kakitangannya yang didakwa melakukan penyelewengan wang berjumlah RM28,000.

Menurut Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand, kes yang berlaku pada Januari tahun lalu membabitkan urusan persembahan sebuah acara hiburan melibatkan artis naungan mereka, Hael Husaini.

Pada pertengahan tahun lalu kami telah membuat satu laporan polis terhadap seorang bekas pekerja yang disyaki menyeleweng sejumlah wang daripada tawaran persembahan yang dijayakan Hael.

“Selepas melaporkan kepada polis, kami ambil keputusan untuk mendakwa dia di mahkamah.

“Pada hari ini, kami hadir untuk perbicaraan kes yang bakal disambung pada pukul 2 petang ini,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah Prem, pihaknya telah memberi peluang kepada individu terbabit untuk melunaskan pembayaran namun diminta untuk menyelesaikan kes mengikut undang-undang.

Sebelum buat laporan polis, kami beri tempoh kepada individu tersebut untuk membayar semula wang itu tetapi gagal dilunaskan. Dia mahu menyelesaikan kes secara undang-undang.

“Penyelewengan berlaku pada Januari tahun lalu dan kami membuat laporan polis pada Jun tahun lalu serta sebutan kes pertama pada November 2024,” jelasnya.

Pada masa sama, Prem memaklumkan kehadiran Hael pada hari ini untuk menjadi saksi dalam kandang mahkamah.

Sementara itu, pemilik nama lengkap Hal Husaini Razmi enggan mengulas lanjut kes itu dan berharap tindakan ini menjadi iktibar kepada semua.

Sebenarnya saya tidak ada hak untuk berkongsi lanjut sebab hadir sebagai saksi.

“Apa-apa pun saya serahkan kepada pihak peguam.

“Apa yang berlaku ini, semoga menjadi iktibar kepada saya, pihak pengurusan dan artis lain,” ujarnya.

Turut hadir, peguam yang mewakili Rocketfuel Entertainment iaitu Narainasami SM Alagu dan Ketua Music dan Kandungan Rocketfuel Entertainment Syakireen Othman.

Perbicaraan disambung pada pukul 2 petang ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok