Lebih premium, Krisdayanti gegarkan PICC 22 Jun ini

BERTUKAR lokasi, konsert Cinta Nostalgia yang menampilkan diva ternama Indonesia, Kris Dayanti kini bakal berlangsung di lokasi baharu iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Jun depan.

Menerusi satu kenyataan, pentas PICC dipilih kerana mampu menampung susun atur teknikal berskala besar, selain menjanjikan kemudahan terbaik untuk penonton dan pihak produksi.

Malah, penukaran lokasi tersebut dibuat juga bagi menjamin keselesaan optimum selain mencipta pengalaman konsert lebih eksklusif dan imersif buat pemuja bakatnya.

PICC memberi suasana lebih premium, selesa serta bersesuaian dengan taraf sebuah konsert berprestij yang menampilkan primadona sekelas Kris Dayanti,” tulis kenyataan tersebut

Konsert Cinta Nostalgia menjadi medan kepulangan penyanyi Menghitung Hari itu ke Malaysia selepas kali terakhir mengadakan Konsert Romansa Kris Dayanti pada 2017.

Menambahkan aura gah, persembahan Kris Dayanti bakal diiringi orkestra megah di bawah arahan maestro muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa.

Turut memeriahkan malam penuh emosi itu ialah dua penyanyi undangan tanah air, Mimi Fly dan Khai Bahar, yang bakal menyumbang suara serta memberi warna berbeza dalam persembahan nanti.

Gabungan suara emas Kris Dayanti, sentuhan muzik Erwin Gutawa dan kemunculan dua artis hebat tempatan akan menghidupkan malam yang penuh keindahan dan nostalgia.

Tiket konsert masih boleh didapati menerusi laman UberTickets di pautan https://cintanostalgia.ubertickets.asia – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok